Pemimpin PAS lawat mangsa kebakaran

 


Kanak-kanak mencari sisa barangan selepas kebakaran di Kg Kerinchi.

KUALA LUMPUR: Penderitaan mangsa kebakaran Kampung Kerinchi, di sini, sedikit terubat apabila mereka dikunjungi rombongan PAS termasuk Presidennya, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor.

Selain menyampaikan sedikit bantuan, rombongan itu yang turut disertai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Subky Latif; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad dan calon KeADILan bagi Lembah Pantai dalam pilihan raya lalu, Zainor Zakaria, turut mendengar luahan penduduk.

Seramai 473 orang daripada 93 keluarga, hilang tempat tinggal apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran itu pada kira-kira jam 3.00 pagi 19 Disember lalu.

Dalam kejadian itu tiada mangsa terkorban. Seorang penduduk cedera dihempap kayu semasa cuba menyelamatkan barang-barang.

Turut musnah dalam kejadian itu adalah peralatan persediaan hari raya dan persekolahan anak-anak, pakaian dan perabot penduduk.


Dato' Fadzil menderma kepada tabung mangsa kebakaran di Kg Kerinchi.

Menurut salah seorang mangsa, kejadian ini adalah yang kelima di kawasan yang sama. Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Mangsa kebakaran ditempatkan di Dewan Sri Angkasa, Sekolah Menengah Sri Pantai dan Balai Islam Kampung Kerinchi.

Setakat ini jumlah derma dikutip oleh PAS cawangan dan persatuan penduduk sebanyak RM2,000.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPP-WP) membuka kaunter bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Kerinchi.

DPP mengalu-alukan sumbangan dalam bentuk makanan, pakaian atau wang ringgit kepada mangsa.

Dermawan bolehlah menghubungi 03-6871431 atau Anwar Ridwan (016-2793291) atau terus membawa sumbangan ke pejabat Ilham Pusat atau Pejabat Pemuda Pusat Markaz Tarbiyah Taman Melewar.

 

Dipetik daripada HARAKAH