Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

PUAN HAJJAH MARINA YUSOFF DITAHAN POLIS

KUALA LUMPUR, 12 Jan - Polis hari ini menahan Naib Presiden Parti Keadilan Nasional, Marina Yusoff selepas beliau menyerah diri di balai polis Cheras di sini.

Timbalan Ketua Daerah Polis Cheras Supt Aman Hussain berkata, terdahulu satu waran tangkap terhadap Marina telah dikeluarkan berhubung satu ucapan pada 29 Sept lepas yang menuduh polis mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Bagaimanapun Marina yang menyerah diri pada pukul 10.40 pagi ini dibebaskan selepas diikat jamin sejumlah RM5,000 secara lisan oleh sahabatnya Ng Lum Yong.

Aman memberitahu pemberita, Marina akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di Pulau Pinang pada Jumaat ini (14 Jan) dan akan didakwa bawah Seksyen 4 (1)(B) Akta Hasutan 1948.

Di bawah seksyen itu jika sabit kesalahan Marina boleh didenda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama, katanya lagi.

"Waran itu sebenarnya telah diterima sebelum Hari Raya tetapi kita baru memberitahu kepada Marina mengenainya petang semalam selepas salinan asal diterima," katanya lagi.

Kedatangan beliau ke balai polis turut diiringi oleh Naib Presiden Parti Keadilan Tian Chua, Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) R. Sivarasa, peguam Marina iaitu P.Uthayakumar dan kira-kira 10 orang penyokongnya.

Sementara itu, Keadilan dalam satu kenyataan mengenai penahanan Marina berkata, beberapa anggota polis melawat kediaman Marina semalam dan memaklumkannya yang beliau akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Menurut parti itu lagi, satu waran tangkap terhadap Marina telah dikeluarkan semasa Hari Raya atas tuduhan mengapi-apikan kebencian antara kaum.

Tindakan polis mengeluarkan waran tangkap semasa Aidilfitri adalah "kejam, tidak peka dan tidak bertimbang rasa" menurut kenyataan itu yang ditandatangani oleh Tian Chua.

"Ancaman oleh pihak berkuasa tidak akan mematahkan semangat kita untuk berjuang bagi perubahan," menurut kenyataan itu lagi.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com