Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KDN Anggap "DETIK" Masalah Serius

laporan Penuh : malaysiakini

Majalah politik popular, Detik, kini "digantung tidak bertali." Kementerian Dalam Negeri sejak 1 Disember lalu masih melengah-lengahkan keputusannya untuk menyambung permit majalah itu. Walaupun Pengarang dan syarikat percetakan Harakah dalam proses perbicaraan di mahkamah atas tuduhan "menghasut" dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan didenda tetapi bekas Ketua Pengarang Detik, AHMAD LUTFI OTHMAN, menganggap nasib majalah pimpinannya lebih malang daripada tindakan KDN terhadap tabloid PAS itu. "Merujuk sesuatu isu ke mahkamah jauh lebih baik daripada terus mengharamkan sesuatu penerbitan," jelas Lutfi.

Malaysiakini : Bagaimana perkembangan permit Detik? Apakah Sdr mendapat apa-apa maklum balas dari Kementerian Dalam Negeri?

LUTFI : Selepas menerima surat tunjuk surat KDN bertarikh 24 Disember tahun lalu, kami menjawab pada 28 Disember. Tetapi kami belum menerima apa-apa maklum balas. Saya menghubungi pegawai KDN tetapi mereka menjawab, ‘kena tunggu dua minggu lagi kerana hal ini masalah serius yang membabitkan menteri. Semalam (14 Januari), saya menghubungi sekali lagi tetapi semua pegawai kementerian masih bercuti.

Malaysiakini : Jika permit Detik tidak disambung, apakah pilihan Sdr untuk menerbitkan berita-berita politik?

LUTFI : Sebelum menerajui Detik, saya sememangnya agak kerap menulis buku dan makalah politik tidak berkala. Kerana ‘letih’ menghadapi masalah cetak rompak, saya lebih suka menerbitkan majalah. Ia mudah diterbitkan. Bagaimanapun tekanan yang diterima, semangat dan keazaman teman-teman di Penerbitan Pemuda masih tinggi. Masih banyak jalan untuk berkarya.

Malaysiakini : Selain Harakah, Sdr nampaknya menjadi sasaran KDN. Apakah Sdr dipanggil untuk disoal siasat atau diganggu oleh pihak berwajib?

LUTFI : Buat masa ini tidak. Mungkin KDN dan pihak polis sudah jemu untuk menyoal siasat saya!

Malaysiakini : Setakat ini, sudah lima pertubuhan wartawan peringkat antarabangsa membantah tindakan KDN itu. Apakah Sdr fikir tindakan ini mencukupi untuk menekan kerajaan Malaysia?

LUTFI : Jutaan terima kasih buat teman-teman wartawan antarabangsa yang turut prihatin. Pemimpin seperti Dr. Mahathir tidak mudah untuk diasak. Namun ia adalah permulaan yang baik. Kami masih menunggu reaksi rakan-rakan dalam negara, misalnya Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) ataupun Persatuan Wartawan Melayu. Mereka diam seribu bahasa!

Banyak perkara yang perlu kami lakukan untuk memulihkan kebebasan media di negara ini. Mahathir tidak akan sekali-kali memberinya secara percuma, malah akan semakin menekannya.

Malaysiakini : Sdr berminat mengajak masyarakat berbincang tentang isu ini seperti permit, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dan kebebasan media. Apakah rancangan Sdr selanjutnya?

LUTFI : Ya, itu impian saya sejak lama dahulu. Mungkin ia sudah terlalu lewat tetapi keadaan kini semakin mendesak kami semua untuk membangkitkan isu-isu itu. Buat permulaan, harus ada inisiatif mengumpulkan teman-teman wartawan, penulis dan karyawan untuk berbincang isu-isu yang kronik seperti ini. Kami berasa cukup malu berada dalam iklim yang menghimpit industri media Malaysia, jika dibandingkan senario kebebasan media di negara-negara jiran yang sudah cukup banyak berubah. Thailand, Indonesia dan Filipina sudah mengecapi kebebasan yang lebih baik.

Dengan kesedaran rakyat khususnya selepas Harakah dirampas KDN dan pengedarannya dihalang, inilah masa terbaik untuk golongan wartawan mengorak langkah. Sesuai dengan suasana sambutan perayaan Aidil Fitri, pertemuan mesti diusahakan segera. Sekurang-kurangnya kita boleh membentuk jawatankuasa bertindak menangani pencabulan yang berleluasa terhadap kebebasan media di Malaysia.

Malaysiakini : Perkembangan terkini menunjukkan kerajaan BN begitu serius ingin menekan penerbitan yang "dilihat" pro-pembangkang. Apakah tindakan kerajaan akan berjaya?

LUTFI : Kerajaan banyak membuat kesilapan, khususnya selepas tragedi pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998. Tindakan pemerintah menyekat Harakah, tidak menyambung permit Detik, memberi amaran keras kepada Wasilah, Tamadun dan Eksklusif tidak menguntungkan mereka. Lain yang diharap, lain pula jadinya. Tindakan membalas dendam ini sekadar menggambarkan suasana keliru dan kelam-kabut pemimpin pemerintah.

Malaysiakini : Apakah Sdr fikir penulis-penulis dan penerbit-penerbit, selain Harakah dan Editornya, akan turut didakwa di mahkamah?

LUTFI : Saya berharap kewarasan dan kebijaksanaan pemerintah mengatasi segala-galannya. Namun, tindakan membawa wartawan, penerbit dan pencetak ke mahkamah atas isu-isu perbezaan pandangan politik hanya memburukkan lagi imej pemerintah. Selepas Barisan Nasional terus menang dengan majoriti selesa, seharusnya pendekatan mesra-rakyat diambil, bukan tindakan membalas dendam.

Bagaimanapun, saya rasa nasib Harakah dan Editornya, Zulkifli Sulong lebih baik berbanding Detik yang tidak diperbaharui permit setakat ini. Merujuk sesuatu isu ke mahkamah jauh lebih baik daripada terus mengharamkan sesuatu penerbitan, meskipun kebebasan mahkamah sendiri kini dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu.

Namun, tindakan mendakwa syarikat percetakan boleh menimbulkan ketakutan dan ini akan menyukarkan penerbit mendapatkan pencetak. Perkembangan ini membimbangkan. Tindakan mengugut pengedar Harakah kurang kesannya berbanding dakwaan ke atas syarikat percetakannya. Nampaknya ia satu amaran keras dari KDN.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com