KUALA TERENGGANU, 30 Dis - Kerajaan Pas Terengganu belum memutuskan sama ada akan mengharamkan atau tidak tarian kebudayaan tradisi Terengganu, Ulik Mayang di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri Ust Wan Hassan Mohd Ramli berkata kerajaan negeri akan mengkaji perkara itu terlebih dahulu dengan mendapatkan pandangan daripada para ulama.
Beliau berkata satu jawatankuasa yang turut dianggotai oleh para ulama telah ditubuhkan untuk mengkaji perkara-pekara yang berkaitan dengan kebudayaan bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan syariat dan nilai-nilai Islam.
"Kita belum haramkan lagi (ulik mayang) tapi kita akan kaji dan insya-Allah selepas Hari Raya ini kita (jawatankuasa) akan adakan mesyuarat pertama," katanya pada persidangan berita sempena kunjungan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir di sini, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan bahawa kerajaan Pas Terengganu mengharamkan kegiatan kebudayaan di negeri itu dan antara cabang seni yang tidak boleh lagi dipersembahkan ialah tarian ulik mayang, wayang kulit, nyanyian dan sebarang bentuk persembahan membabitkan percampuran antara lelaki dan perempuan.
Menurut akhbar itu, pengharaman itu dikatakan berkuatkuasa sebaik sahaja Pas mengambil alih pemerintahan negeri ini selepas pilihan raya umum 29 Nov lepas.
Ust Wan Hassan berkata sebarang perubahan pendirian atau pengharaman sesuatu perkara terutama seni yang membabitkan budaya warisan negeri ini tidak akan dibuat sekali gus kerana ia akan menimbulkan kejutan budaya.
"Mana yang tidak bercanggah dengan Islam kita teruskan, mana yang boleh ubah kita ubah termasuk penerimaan dan minda masyarakat mengenai sesuatu perkara," katanya.
Abdul Kadir ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata ia adalah salah faham kerana beliau sendiri dimaklumkan bahawa kerajaan negeri belum membuat keputusan mengharamkan tarian Ulik Mayang.
Ust Wan Hassan juga berkata kerajaan negeri akan meneruskan semua program kebudayaan dan pelancongan untuk tahun depan yang telah dirancang di negeri ini, tetapi menarik keluar beberapa perkara yang nyata bercanggah dengan Islam.
Beliau berkata program pelancongan `Kenyir Ecofest' yang dianjurkan oleh Ketengah ditarik keluar daripada kalendar pelancongan negeri untuk tahun depan berikutan pembatalan oleh Ketengah.
Beliau meminta kementerian berkenaan mengkaji semula tindakan itu memandangkan Ketengah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.