Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

MCA AKAN PECAT AHLI YANG TERIMA JAWATAN YANG DITAWAR KERAJAAN PAS

KUALA TERENGGANU, 4 Jan - MCA Terengganu hari ini mengingatkan anggota parti itu supaya tidak menerima sebarang jawatan sebagai wakil masyarakat Cina yang ditawarkan kerajaan PAS Terengganu kerana ia bercanggah dengan prinsip parti itu.

Timbalan Pengerusi MCA negeri Wong Foon Meng berkata anggota parti yang menerima tawaran itu akan dipecat kerana ia bertentangan dengan dasar parti dan semangat Barisan Nasional.

"MCA tidak memerlukan anggota yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti," katanya di sini hari ini. Semalam, Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan negeri akan melantik seorang atau dua wakil masyarakat Cina dalam majlis daerah di setiap daerah di negeri ini dan dalam Jawatankuasa Keselamatan Kampung bermula 1 Mac ini.

Haji Abdul Hadi berkata pelantikan itu adalah selaras dengan janji PAS untuk turut membabitkan masyarakat bukan Islam dalam membangunkan negeri.

Ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri menutup pusat-pusat perjudian di seluruh negeri bermula 1 Mac ini, Wong berkata tindakan itu akan hanya meningkatkan kegiatan judi tanpa lesen di Terengganu.

Beliau berkata tindakan drastik kerajaan PAS itu akan hanya menimbulkan perasaan benci di kalangan masyarakat bukan Islam kerana pelbagai dasar membabitkan bukan Islam yang diumumkan seperti kharaj dan pelaksanaan hukum Hudud masih belum dijelaskan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com