Dari semenjak dahulu media perdana seperti akhbar, radio, filem dan
televisyen adalah sumber utama bagi orang ramai mendapatkan maklumat dan
berita yang berlaku di sekeliling mereka. Apa saja berita dan maklumat
yang disiarkan melalui media perdana ini dianggap oleh orang ramai
sebagai berita yang benar lagi sahih. Kerana mungkin hampir semua berita
yang disiarkan itu dari segi faktanya adalah benar maka orang ramai
sehingga kini tidaklah pernah meragukan kesahihan sesuatu berita yang
disiarkan oleh media perdana itu. Sehinggalah tertanam dalam fikiran
orang ramai semua maklumat dan berita yang dihidangkan kepada mereka itu
adalah suatu yang boleh dipercayai, betul dan boleh diterima pakai. Oleh
kerana mereka telah menganggap media perdana sentiasa betul maka tidak
hairanlah nilai-nilai dari filem-filem yang disajikan kepada mereka akan
juga dianggap betul dan diterima dalam kehidupan mereka, walaupun
kadang-kadang bertentangan dengan nilai agama mereka.
Satu nilai yang salah dari segi agama tetapi telah dianggap oleh
masyarakat sebagai suatu yang tidak salah disebabkan oleh asuhan media
perdana ini ialah sepasang kekasih teruna dan dara jalan berkepit atau
berpegangan tangan. Adegan pasangan kekasih berpimpin tangan,
berdua-duaan atau kawan lelaki bermesra dengan kawan wanita adalah
perkara biasa dan lumrah di dalam filem dan drama keluaran tempatan. Di
dalam filem-filem tersebut perbuatan yang sumbang ini tidak dilihat
sebagai sumbang atau nilai yang salah malah ia dilakunkan oleh hero dan
heroin dalam filem tersebut yang bakal menjadi ikutan kepada orang
ramai. Oleh kerana lakunan ini disogokkan saban hari kepada penonton
menyebabkan penonton atau orang ramai tidak lagi menganggap berdua-duaan
antara lelaki dan perempuan itu sebagai suatu yang salah asalkan tidak
di dalam bilik.
Padahal suatu masa dahulu jika ada lelaki dan perempuan yang bukan
muhrimnya duduk berdua-duaan dianggap oleh masyarakat ketika itu sebagai
sumbang apalagilah kalau berkepit dan berpelukan. Apabila dilihat oleh
orang ramai, pasangan yang melakukan kesalahan itu akan diambil tindakan
tertentu bagi membendung pesalah dari terus melakukannya. Berbanding
dengan masa ini, masyarakat masa kini tidak pernah mengambil kisah jika
nampak pasangan muda-mudi jalan berkepitan atau berpelukan, kalau
setakat duduk berdua-duaan itu langsung tidak jadi hal lagilah. Duduk
berdua-duaan dan perbuatan berpelukan antara pasangan kekasih adalah
sangat ditegah oleh agama kita. Kerana perbuatan ini adalah termasuk
dalam perkara yang menghampirkan kepada zina. Di dalam Quran jelas Tuhan
telah melarang orang-orang yang beriman supaya tidak menghampiri zina.
Tuhan bukan sahaja melarang perbuatan zina tetapi melarang juga kepada
perkara-perkara yang boleh mendekatkan kepada zina.
Walaupun media perdana tidak pernah secara terang untuk menggalakkan
orang untuk berzina tetapi mereka telah berjaya menyerapkan budaya atau
perbuatan yang mendekatkan orang ramai kepada zina. Pergaulan bebas
lelaki dan perempuan adalah satu budaya yang telah boleh diterima
masyarakat kita. Inilah hasil budaya yang telah diterapkan melalui media
siaran perdana. Dari tempat kerja sehinggalah di pusat-pusat pengajian,
lelaki dan perempuan boleh berhubung dan bergaul secara bebasnya. Kini
sudah menjadi perkara biasa anak-anak gadis boleh saja bertemu
teman-teman lelakinya tidak kira tempat dan waktu tanpa siapa berani
untuk menghalangnya.
Berzina tidak sama dengan kerja salah yang lain. Kecenderungan untuk
melakukan zina tidak sama dengan kecenderungan untuk mencuri atau untuk
menerima rasuah. Zina harus ditangani dengan cara yang berbeza dengan
perbuatan maksiat yang lain. Zina banyak dipengaruhi oleh ransangan. Itu
sebab Tuhan menyuruh kaum wanita supaya menutup aurat padahal yang
teransang adalah pihak lelaki. Dalam keadaan agama kita melarang
perkara-perkara yang boleh meransang zina ini dan harus disembunyikan
dan dijauhkan mengapa pula media siaran secara rakusnya menggalakkan
ransangan zina ini. Di dalam majalah-majalah hiburan tubuh badan wanita
dipamerkan secara yang menghairahkan. Cerita-cerita seks di perbesar dan
disensasikan. Apakah semuanya kita mesti ikut cara yang dilakukan oleh
barat. Apakah peraturan dan nilai antarabangsa itu harus datang dari
barat. Kenapa tali leher dianggap antarabangsa manakala kita rasa kekok
nak pakai songkok, kenapa kita rasa selesa memakai sudu garpu tetapi
rasa geli geleman nak pakai chop stick.
Wallahualam
Dipetik daripada UNIT IT PAS PUSAT