Aliran - Ajinder Kaur
5pm, JUM: Aliran menerbitkan satu laporan kewangan yang lengkap bagi menolak dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid, yang menuduh badan bukan kerajaan itu pernah menerima bantuan kewangan dari bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Subramaniam S. Pillay, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan Aliran, menjelaskan dakwaan itu sebagai "satu pembohongan besar dan palsu semata-mata."
Murad, dalam satu akuan bersumpah pada 26 Oktober tahun ini, mendakwa Aliran dan bekas Presidennya Dr Chandra Muzaffar menerima RM5 juta dari Anwar antara tahun 1992 hingga 1997.
"Kami dengan bangga menyatakan bahawa kami tidak pernah satu sen pun menerima bantuan kewangan dari mana-mana parti dalam Barisan Nasional, apatah lagi Anwar," jelas Bendahari Kehormat pertubuhan tersebut.
Beliau menjelaskan lagi bahawa sumber utama pendapatan badan itu datangnya dari jualan majalah bulanan, Aliran Monthly, dan juga derma dari pembaca, bukannya dari tokoh korporat atau kerajaan.
"Dasar kami sejak dahulu lagi mengutamakan sikap berdikari dari sudut kewangan," kata Subramaniam. "Kami sedar bahawa kebebasan kami ini banyak bergantung pada keupayaan kami untuk mempunyai sumber kewangan sendiri."
Aliran selalu menerbitkan penyata kewangannya dalam majalah Aliran Monthly sejak lapan tahun lalu. Subramaniam berkata, kecuali tahun 1998 dan 1999, pertubuhan itu mempunyai akaun yang defisit.
"Namun begitu, derma dari ahli dan orang ramai berjaya menampung kekurangan tersebut," katanya.