KUALA TERENGGANU, 30 Jan - Kerajaan Pas Terengganu hari ini memberi jaminan bahawa ia tidak akan terlibat dalam sebarang perniagaan sekiranya sesuatu projek itu mampu dilaksanakan oleh usahawan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri Mustafa Ali berkata kerajaan sentiasa berusaha menarik para pelabur ke negeri ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka untuk melaksanakan perniagaan.
Katanya kerajaan negeri akan juga menjalankan kajian terperinci terhadap anak-anak syarikatnya dalam usaha mengemaskinikan pentadbiran dan perjalanan anak syarikat berkenaan.
Anak syarikat yang didapati tidak membawa keuntungan tetapi dianggap berpotensi akan diteruskan operasinya dengan dilakukan beberapa pendekatan tertentu, katanya pada forum perindustrian Terengganu di alaf baru di sini.
Namun begitu, katanya, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan menutup mana-mana anak syarikat yang dianggap tidak strategik serta sering mengalami kerugian.
Ketika menjawab soalan peserta forum mengenai kemungkinan kerajaan negeri mengenakan larangan kepada golongan wanita yang bekerja malam terutamanya dalam sektor perkilangan, Mustafa berkata ia terpulang kepada syarikat terbabit.
"Bagaimanapun lebih baik mereka tidak bekerja malam kerana majikan perlu memahami tanggungjawab pekerja wanita terhadap keluarga yang lebih utama," katanya.