KUALA LUMPUR, 26 Jan - Perbicaaran liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga esok selepas pihak pembelaan gagal mengemukakan pasport tahun 1993 milik bekas timbalan perdana menteri itu sebagai sokongan pembelaan alibi.
Perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang disambung semula semalam selepas berehat selama dua bulan, sepatutnya mendengar keterangan Anwar mengenai pergerakan beliau pada masa yang berkaitan dengan pertuduhan dalam perbicaraan yang memasuki hari ke-75 hari ini.
Hakim Datuk Arifin Jaka membuat keputusan itu selepas peguam utama Anwar, Christopher Fernando memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan pasport berkenaan.
Hakim ingin mengetahui antara lainnya tempat simpanan pasport itu, siapa yang membuat salinan dokumen dan bila ia dilakukan.
Isu pasport itu ditimbulkan apabila Fernando memberitahu mahkamah bahawa beliau bercadang mengemukakan pembelaan alibi pergerakan Anwar mengikut hari, mulai 11 Feb 1993.
Anwar sebelum itu meneruskan keterangannya mengenai konspirasi selama kira-kira satu setengah jam selepas Fernando menyoalnya mengenai penangkapan beliau pada 20 Sept 1998.
Bagaimanapun, Arifin menolak cara peguam itu mengemukakan soalan kerana sebahagian besarnya tidak relevan kepada pertuduhan terhadap Anwar.
Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, didakwa berasingan kerana meliwat Azizan Abu Bakar, 39, di pangsapuri Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini pada pukul 7.45 malam, antara Jan dan Mac, 1993.