DUA CALON PILIHAN RAYA PAS HENDAK DIPECAT KEAHLIAN UMNO

KUALA LUMPUR, 29 Dis - Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno akan mengesyorkan kepada Majlis Tertinggi supaya memecat lima ahli Umno yang menjadi calon dan pencadang calon parti lawan pada pilihan raya umum lepas, kata Setiausaha Agong Umno Tan Sri Khalil Yaakob.

Beliau berkata, daripada lima orang itu dua orang menjadi calon PAS masing-masing di kawasan Parliamen Setiu, Terengganu dan di Kota Belud, Sabah.

"Tiga orang lagi menjadi pencadang calon parti lawan di Sabah. Semua kes ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi yang akan bermesyuarat Isnin ini," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

Khalil berkata kesemua lima orang itu disyorkan dipecat kerana melanggar perlembagaan parti yang dengan jelas menyatakan ahli parti akan dipecat jika menyokong parti lawan.

Beliau juga berkata, 47 orang lagi akan diberi surat tunjuk sebab mengapa tindakan displin tidak boleh dikenakan terhadap mereka kerana menyokong parti lawan semasa pilihan raya umum 29 Nov lepas.

Khalil berkata sebelum ini, jawatankuasa itu telah menghantar surat tunjuk sebab kepada 96 ahli serta tiada ketua bahagian yang terlibat.