KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian Negeri, Haji Mustafa Ali menolak tanggapan pihak pembangkang yang mengatakan tiada usaha gigih oleh kerajaan negeri untuk menarik para pelabur.
Beliau berkata, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah melakukan tindakan proaktif dalam melaksanakan tugas mereka untuk menarik para pelabur ke negeri ini.
Tambahnya, walaupun kerajaan negeri masih baru tetapi telah menerima kunjungan daripada MICCI yang memiliki 16 syarikat yang dilaksanakan oleh pihak Upen.
Katanya lagi, pihak Upen bahagian industri juga sudah merancang aktiviti sepanjang tahun depan dalam usaha menarik para pelabur asing dan domestik ke negeri ini.
"Kerajaan juga merancang mengeluarkan buletin pada tahun 2000 untuk memaklumkan peluang pelaburan dalam negeri ini yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, mungkin ada sebab tertentu," ujarnya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Tahun 2000 di Persidangan Dun, di sini, baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun mengakui usaha untuk menarik para pelabur perlu dilaksanakan secara net working termasuk dengan Kerajaan Pusat dalam konteks federalisme.
"Terengganu tidak boleh terpisah dengan Pusat dan Pusat pun sama tidak boleh terpisah dengan kerajaan negeri," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu menggalakkan misi menarik pelaburan ke luar negara yang dilakukan melalui Miti atau pihak kerajaan sendiri.
Begitu pun, katanya, jika usaha itu dilakukan bersama Miti, para pegawai daripada negeri 'tenggelam' dengan pegawai Kerajaan Pusat.