Pelancong Bukan Islam Tak Terikat Dengan Hukum Islam

KUALA TERENGGANU, 30 Dis - Kerajaan Pas Terengganu memberi jaminan tidak akan menghalang pelancong asing ke negeri ini daripada melakukan perkara-perkara yang tidak ditegah oleh agama dan budaya mereka.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata jaminan itu diberikan kepada beliau oleh Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang sendiri dalam pertemuan mereka di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

"Saya boleh beri jaminan kepada pelancong dunia yang ingin melancong ke Terengganu bahawa mereka akan diberi kebebasan melakukan apa yang dibenarkan agama dan budaya mereka," katanya pada persidangan berita di sini selepas pertemuan kira-kira setengah jam itu.

Abdul Kadir, yang merupakan menteri kabinet yang pertama melawat Terengganu selepas negeri itu diperintah oleh kerajaan Pas, berkata sebagai contoh pelancong asing yang melawat Terengganu boleh mengambil minuman keras di hotel penginapan mereka asalkan tidak dihidang oleh orang Islam.

"Mereka masih boleh minum (arak) di hotel, tetapi dengan syarat ia tidak dihidang oleh pekerja yang beragama Islam," katanya.

Abdul Kadir berkata kedatangan beliau ke Terengganu ialah bagi mendapatkan penjelasan kerajaan negeri berikutan wujud kebimbangan di kalangan pelabur dan syarikat pelancongan mengenai keadaan di Terengganu selepas negeri itu diperintah oleh Pas.

"Ramai pelabur termasuk pelabur baru bimbang dan curiga sama ada pelaburan mereka selamat dan saya dimaklumkan ada beberapa syarikat pelancongan dari luar negara yang membatalkan lawatan mereka ke Terengganu kerana kebimbangan ini," katanya.

Abdul Kadir berkata usaha untuk mempromosikan pelancongan adalah satu perkara yang terlalu sensitif dan jika menimbulkan walau sedikit pun keraguan akan menyebabkan pelancong lari atau syarikat yang menguruskan kedatangan pelancong beralih ke destinasi lain.

Keadaan itu akan merugikan Terengganu sendiri yang terkenal dengan pulau-pulau yang menarik, katanya.

Beliau berkata kementerian akan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk memajukan industri pelancongan di negara ini termasuk di Terengganu dan Kelantan dan adalah sesuatu yang merugikan sekiranya pelancong mempunyai tanggapan yang negatif terhadap sesuatu destinasi yang menarik.

"Oleh itu kita kena sensitif sedikit dengan kenyataan yang dibuat, mungkin kita tidak bermaksud begitu tetapi mereka fikir lain...saingan dalam bidang pelancongan hebat dan oleh itu kita kena berjaga-jaga," katanya.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, kerajaan negeri juga memberi jaminan bahawa dasar-dasar dalam bidang pelancongan yang dilaksanakan kerajaan sekarang tidak berubah daripada dasar-dasar dahulu.

Kerajaan negeri juga berjanji akan memberi kerjasama kepada kementerian dalam usaha memajukan bidang pelancongan di Terengganu, katanya.