Terengganu pangkalan tawan negeri lain
MARANG: Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Terengganu akan dijadikan pangkalan kepada parti-parti dalam Barisan Alternatif (BA) untuk menawan negeri lain. Sehubungan itu, katanya kunjungan Pemuda Parti KeADILan memberi semangat kepada PAS menawan negeri lain dalam pilihan raya umum akan datang. Beliau menyatakan demikian dalam majlis perjumpaan dengan Pemuda KeADILan yang diketuai oleh Ketua Pemuda, Mohd Ezam Mohd Noor di rumahnya di Rusila, Jumaat lalu. Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Menteri Besar menekankan perlunya komponen BA menubuhkan lebih banyak cawangan dan menambah jumlah ahli menjelang pilihan raya akan datang. "Kita perlu menubuhkan lebih banyak cawangan kerana kita tidak boleh menggerakkan jentera pilihan raya tanpa ada cawangan. "Kita perlu menggerakkan jentera pilihan raya secara berterusan," katanya. Tambahnya, cawangan yang ditubuhkan itu mestilah aktif menjalankan aktiviti terutama di kalangan pemuda. Tegasnya, kejayaan yang diperolehi oleh BA dalam pilihan raya umum ke-10 lalu kerana kerjasama antara parti-parti dalam gabungan itu adalah ikhlas dan bersungguh-sungguh. "Kerjasama kita (dalam BA) adalah ikhlas dan bersungguh-sungguh menyebabkan BN tidak berdaya untuk memecahkan pakatan," ujarnya. Tambahnya, kerjasama yang ikhlas dalam BA itu turut dibuktikan dengan kunjungan daripada Pemuda KeADILan itu. Dua hari sebelum itu, para pemimpin DAP yang diketuai oleh Pengerusinya, Lim Kit Siang turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Tuan Guru Abdul Hadi dan beberapa Exco di pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman. |
dipetik daripada HARAKAH