HULU TERENGGANU, 20 Jan - PAS akan menunggu keputusan Kementerian Dalam Negeri mengenai permohonan yang akan dikemukakan untuk menerbitkan sebuah akhbar harian yang akan diberi nama "Purnama" sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.
Naib Presiden PAS Mustafa Ali hari ini berkata permohonan itu akan dibuat tidak lama lagi.
"Keputusan (untuk menerbitkan akhbar berkenaan) sudah ada dan kita harap tahun ini (akhbar itu dapat diterbitkan)," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai pembangunan kawasan industri kecil dan sederhana di sini.
Taklimat disampaikan oleh Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dan dihadiri juga oleh beberapa anggota exco kerajaan negeri.
Mustafa berkata jawatankuasa teknikal mengenai penerbitan akhbar berkenaan, sedang mengkaji cara mana ia akan beroperasi nanti.
"Jawatankuasa teknikal itu akan melihat kepada baik buruknya terlebih dahulu," katanya.
Mustafa berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Harakah, lidah rasmi parti itu hari ini untuk edisi Jumaatnya, bahasa PAS akan membuat permohonan kepada KDN untuk mendapatkan permit bagi menerbitkan sebuah akhbar harian.
Menurut Harakah, permohonan itu dibuat menggunakan nama sebuah syarikat yang dibentuk atas nama para pemimpin PAS iaitu Penerbitan Mutaqin Sdn Bhd manakala ahli Jawatankuasa PAS pusat Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman diberi tugas untuk membuat permohonan itu.
Syed Ibrahim dipetik oleh Harakah sebagai berkata akhbar harian itu akan dinamakan Purnama dan operasinya akan menjadi sama seperti akhbar-akhbar harian lain seperti yang ada di pasaran.
Mustafa berkata akhbar harian itu juga akan membuat laporan yang lebih meluas lagi yang bukan sahaja melibatkan aktiviti parti berkenaan.
"Fokus akhbar harian itu nanti bukan lagi bersifat inhouse lagi... bentuknya kita sedang bincang mungkin seperti akhbar harian biasa atau tabloid," katanya.