Setelah perampasan Harakah dan tuduhan hasutan dilakukan ke atas saudara
Zulkifli Sulong, akhirnya Penerbitan Muttaqin Sdn Bhd membuat keputusan
untuk menerbitkan sebuah akhbar harian yang bernama "Purnama". Tahniah
diucapkan! Ini memang satu langkah positif yang diambil.
Permohonan ini boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menguji tahap
kebebasan bersuara dan demokrasi Malaysia. Apa yang membelenggui media arus
perdana pada masa kini ialah mereka kian kehilangan identiti dan arah
penerbitan. Bermula dari pemecatan Abdul Kadir Jasin sebagai editor NST
yang gagal memcapai matlamat pihak tertentu sehinggalah pembatalan permit
PP Detik yang dikaitkan dengan faktor poiitik, media kita telah dikuasai
dan dipermainkan dengan sesuka hati. Rakyat tidak ada ruang langsung untuk
memilih bahan bacaan yang mereka suka. Hak membaca rakyat telah dihadkan
kerana lesen penerbitan hanya dikeluarkan kepada pihak yang mendengar
arahan pihak berkuasa dan menerbit mengikuti kehendak mereka. Di samping
itu, jika pernerbitan yang melanggar kesalahan teknikal yang kecil tetapi
digemari rakyat, permit mereka masih dibatalkan atas alasan
yang langsung tidak masuk akal.
Lihatlah apa nasib Detik, Wasilah, Ekslusif dan Tamadun. Mahu tak mahu,
kita hanya boleh memilih bahan bacaan media arus perdana yang jelasnya
memihak ke pihak berkuasa. Mereka cuba membuat kita berfikiran kolot, beku
dan menafikan kewujudan suara alternatif dengan membekalkan kita dengan
bahan bacaan tertentu. Penyekatan minda telah dijalankan!
Kita kian terpesong dengan laungan "Malaysia Boleh". Kalau Malaysia boleh,
kenapa tidak "boleh" luaskan ruang pernerbitan dan kebebasan bersuara. Kita
sering dengar sahaja "batal permit"... batal permit majalah, ceramah,
lesen... Kalau betul-betul "boleh" apakah takut sehingga batal sana, batal
sini, sekat sini, sekat sana dan pelbagai alasan yang tidak munasabah diberi.
Kebenaran telah disembunyikan. Masalah rakyat yang patut mendapat perhatian
tidak diendah. Penyelewengan tidak mendapat perhatian. Fenomena tersebut
telah kian lama wujud di akhbar. Satu contoh, saudara Ezam teleh
mendedahkan penyelewengan dan membuat laporan polis, tetapi polis tidak
melakukan penyiasatan lanjut terhadap nama-nama dalam laporan polis Ezam,
sebaliknya ezam dituduh atas OSA. Akhbar tidak menyentuh langsung dengan
menyeluruh mengenai kes ini. Laporan polisnya tidak mendapat perhatian yang
sepunuhnya daripada media.
Dalam keadaan sebegini, hilanglah keyakinan rakyat terhadap akhbar. Sikap
tak professional akhbar-akhbar telah menghampakan ramai orang. Penyaluran
maklumat yang berunsur bau kepentingan dan menutup kebenaran bukan sesuatu
yang kita mahu. Pada pilihanraya 1999, senaskah akhbar yang berharga RM
1.00 - RM 1.20 mengandungi iklan sebanyak 7 - 8 mukasurat yang pro BN. Kita
membayar harga akhbar untuk mendapatkan maklumat, bukan untuk melihat iklan
yang jelas berpihak ke satu pihak.
Jesturu itu, Purnama lahir tepat pada waktunya. Pada masa yang sama menanti
lulusnya permohonan purnama, diharap pihak Muttaqin boleh adakan kempen
mengumpul tandatangan dari rakyat untuk menyokong penerbitan purnama di
ceramah atau kempen tertentu yang akan diadakan. Selepas itu, ia boleh
dihantarkan kepada pihak berkenaan. Lahirnya Purnama adalah atas suara
rakyat yang dahagakan informasi alternatif dan kebenaran.
Menanti keluaran sulung Purnama.
dari tat kean