Orang yang pernah membakar jambatan perjuangannya dan menginjak tesis Phd yang dipertahankannya sendiri, Datuk Dr Rais Yatim telah menyeru ahli-ahli Umno supaya memahami benar-benar perlembagaan Umno pasal 3 yang menyatakan secara khusus tentang asas dan tujuan penubuhan parti berkenaan. Rais membuat saranan itu tentu dengan tujuan untuk menobatkan kononnya beliau adalah pakar perlembagaan!
Terus terang saya katanya, saya hendak tergelak dan merasa loya tiba-tiba seperti perempuan bunting sulong dengan perilaku bekas pemimpin Semangat 46 itu. Begitukah lagak dan stail tokoh politik yang dikatakan berkelulusan tinggi dan petah berpiDatuk!
Mentang-mentang beliau sudah mendapat apa yang dicita-citakannya (untuk menyertai kabinet MAHAFIRAUN), menjadi menteri, maka beliau telah lupa kepada apa yang beliau sendiri pernah lakukan hampir 10 tahun lalu. Sedih sekali begitu lemah ingatan politik seorang Rais Yatim.
Kita ingin bertanya apakah perlembagaan Umno yang ada hari ini berbeza dengan perlembagaan Umno semasa Rais Yatim, Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa orang lagi meninggalkan parti tersebut tahun 1989 dahulu? Apakah perlembagaan Umno telah diubah sebaik sahaja Rais dan Ku Li menyertai semula Umno pada awal tahun 1996 dahulu? Dalam erti kata lain Umno hari yang pernah ditentang oleh Rais dan Ku Li sebagai tidak asli, telah menjadi asli seperti kehendak mereka berdua?
Rasanya perlembagaan Umno masih juga seperti dahulu, tidak diubah dan berubah akan tujuan dan matlamatnya. Fasal 3 yang diperkatakan oleh Rais itu masih kekal seperti dahulu.
Di sini soalan bodoh saya yang ingin dilemparkan kepada Rais, apakah beliau sendiri tidak faham akan Fasal 3 perlembagaan Umno maka pada tahun 1989 beliau dan Ku Li telah meninggal parti tersebut dan menubuhkan Semangat 46?
Kita juga ingin bertanyakan kepada Rais apakah perjuangan beliau menerusi Semangat 46 dahulu untuk mengembalikan Umno kepada asal kerana Umno tajaan MAHAFIRAUN tidak tulen telah terhasil? Sebagai seorang peguam, berkelulusan Rais tidak mudah menghapuskan bukti dan fakta kerana ingin menegakkan benang basah.
Rais boleh menasihati ahli Umno bukan sahaja setakat supaya memahami fasal 3 perlembagaan Umno, sebaliknya lebih jauh dari itu pun boleh. Tetapi sebelum Rais berkokok tiliklah kepada diri sendiri. Beliau sendiri kena mengakui bahawa beliau juga tidak pernah faham dengan fasal 3 perlembagaan Umno. Sekurang-kurangnya lapan tahun beliau kabur untuk memahami fasal 3 tersebut. Kalau tidak, masakan beliau meninggalkan Umno dan lebih teruk lagi menganggap Umno tidak tulen lagi.
Kalau Rais sendiri kabur mengenai perkara itu, jadi macam mana pula beliau menyarankan agar ahli Umno memahami fasal 3 tersebut. Kalau orang sebijak Rais, sehandal Rais dan selicik Rais pun boleh kabur dan tersasau, apalah hendak diharapkan kepada ahli-ahli Umno bawahan dan generasi baru yang tidak pernah dikebalkan dengan perjuangan Umno. Lagilah mereka buta dengan fasal 3 tersebut.
Barang kali begitulah sikap dan perangai orang politik. Suatu masa mereka boleh berkata putih kepada benda hitam, dan berkata hitam kepada benda putih. Hari ini mereka boleh memburukkan Umno, dan esok mereka boleh memuji dan memujanya. Macam orang seperti Rais itu, hampir 10 tahun beliau mengkritik, memburuk dan menolak MAHAFIRAUN, tetapi hari ini beliau boleh memuja dan memuji melangit MAHAFIRAUN. Beliau boleh bersikap seolah-olah beliau sikit pun tidak pernah mengkritik MAHAFIRAUN.
Beliau membuat kajian khusus mengenai pemusatan dan penyalahgunaan kuasa kepada eksekutif di Malaysia, (iaitu pemonopolian kuasa oleh MAHAFIRAUN) sehingga mendapat gelaran PhD. Dalam kajian ilmiah Rais pemusatan kuasa kepada eksekutif telah sampai ke peringkat yang melampau yang menyebabkan eksekutif (MAHAFIRAUN) menjadi dictator. Tetapi hari ini, sebelum kelapa muda menjadi kotel, beliau telah menolak tesis PhD nya sendiri. Di manakah prinsip dan pendirian Rais sebagai seorang ahli politik yang berwibawa?
Kepada ahli politik yang semarga dan sejenis dengan Rais, usahlah mudah untuk bercakap berdegar-degar kalau ekor masih bergelumbang dengan tahi. Bab kata orang, pandai mengkritik tetapi tidak pandai berbuat. Umpama tikus membaiki labu. Janganlah pula di masa akan datang genarasi Malaysia akan menjadikan sikap dan telatah Rais sebagai perumpama atau bidalan baru sebegini; Rais pandai membakar jambatan, tetapi dia sendiri tidak tahu berenang, akhirnya beliau terpaksa memeluk semula buaya tembaga yang dihina dan dicacinya selama ini. (Buaya tembaga itu ialah MAHAFIRAUN).