KENYATAAN MEDIA KETUA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR (DPPNS)
Tarikh :  20 DISEMBER 1999
Rombakan Ahli JawatanKuasa Masjid dan Surau Seluruh Selangor.
 
 

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) dengan ini merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Besar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor, YB Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad berkenaan rombakan dan sususan semula semua AJK masjid dan surau di seluruh Selangor di atas tuduhan terbabit dengan kegiatan parti pembangkang. Beliau berhujjah lagi bahawa oleh kerana AJK masjid menerima elaun daripada kerajaan dan masjid juga dibina dengan wang kerajaan, maka tindakan mereka terbabit dalam aktiviti parti pembangkang adalah suatu pengkhianatan terhadap kerajaan (Sumber: Berita Harian Online – 9/12/1999)

  1. Kami dari DPPNS membantah keras tindakan tersebut yang kami sifatkan sebagai usaha kerajaan negeri untuk mengambil pendekatan yang "combative" terhadap gerakan Islam yang sudah mula mampu mengubah lanskap politik negeri Selangor. Kami ingin mengingatkan beliau bahawa pendekatan yang sebegini hanya akan memburukkan lagi suasana perpecahan masyarakat apatah lagi di ketika umat Islam sedang memberikan penumpuan terhadap program ibadah di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Seharusnya, beliau yang baru dilantik ke jawatan ini dengan undi rakyat, mengambil sikap keterbukaan di samping terus memupuk perpaduan di kalangan rakyat dan umat Islam khususnya. Beliau tidak sepatutnya lebih cenderung dengan pendekatan purba yang diambil oleh kerajaan sekular Turki terhadap umat Islam di sana di dalam membendung kebangkitan gerakan Islam.  Kita juga ingin mengingat beliau supaya tidak mengulangi keangkuhan kerajaan UMNO/BN Terengganu yang sanggup merobohkan surau dan sekolah agama sebelum rakyat menumbangkan mereka dalam pilihanraya umum yang lalu.
  2. Kami dari DPPNS juga menggesa beliau berhenti dari menghina AJK masjid dan surau dengan mengungkit pemberian elaun yang tidak seberapa. Kami yakin AJK masjid dan surau menyumbangkan khidmat mereka kepada institusi-institusi masyarakat Islam ini di atas keikhlasan mereka melakukan tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat, dan bukannya mengharap elaun seperti yang disebutkan. Lagipun, wang elaun tersebut adalah wang yang dikutip dari rakyat, maka mereka mestilah memberikan khidmat mereka yang terbaik untuk rakyat, dan bukannya memelihara kepentingan politik pemimpin UMNO/BN.
  3. Akhirnya kami ingin menasihatkan YB Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad supaya memahami dan menghayati maksud firman Allah SWT seperti berikut di dalam menguruskan pentadbiran masjid dan surau:
"Hanyalah yang berhak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat , serta tetap membayar zakat dan tidak takut kepada sesiapapun selain dari Allah. Dan mudah-mudahan mereka itu termasuk di kalangan mereka yang menerima petunjuk yang benar ." -At-Taubah: Ayat 18.

 

Sekian, wallahu a’lam.

Ramli B. Sidom
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

20 Disember 1999.