PAS/DPP/3.01/(10) 30 Disember 1999
Kepada :
YB DATUK ABDUL KADIR BIN HAJI SHEIKH FADZIR
MENTERI KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN PELANCONGAN
YB Datuk,
BANTAHAN TERHADAP PROGRAM MILLINEUM PARTY SEMPENA SAMBUTAN ALAF BARU
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah sekeras-kerasnya penganjuran program Millineum Party yang akan diadakan pada 31 Disember 1999 pukul 8.00 malam sempena menyambut kedatangan alaf baru di tempat-tempat seperti berikut :
1.. Bali, Blok C, Leisure Commerce Square, No 9, Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya, Selangor
2.. Terminal 1 Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS), Selangor
3.. One Utama, Damansara Utama, Selangor
4.. Sunway Lagoon Sdn. Bhd, No 3 Jalan PJS 11/11, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor
Melalui iklan-iklan serta poster-poster yang disebarkan di merata tempat, ternyata program tersebut mengandungi persembahan termasuk daripada artis-artis barat yang membawa imej lucah, menghidangkan minuman keras serta akan barutan sehingga lewat pagi yang membawa budaya kuning yang akan merosakkan masyarakat.
DPP Pusat merasakan penganjuran program tersebut adalah di bawah tanggungjawab YB Menteri khususnya serta Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan amnya. Justeru itu DPP Pusat meminta pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan mengambil tanggungjawab sebagai mewakili pihak Kerajaan yang sentiasa melaung-laungkan untuk menegakkan syiar Islam, bertindak membatalkan program tersebut. Program tersebut sama sekali tidak menghormati kesucian bulan Ramadhan serta sensitiviti ummat Islam di dalam negara ini .
Program itu juga bertentangan dengan hasrat Kerajaan untuk melahirkan masyarakat madani bahkan menjadi faktor penyumbang kepada keruntuhan akhlak rakyat. Kita tidak terfikir langsung pihak Kementerian sanggup membenarkan rakyat Malaysia memulakan alaf baru ini dengan program-program yang sebegitu rupa yang jelas tidak membantu Kerajaan dalam aspek pembangunan material apatah lagi pembangunan insaniah.
DPP Pusat sekali lagi menuntut pihak Kementerian supaya mengambil tindakan segera dan tegas untuk membatalkan program tersebut.
Sekian terima kasih.
Wassalam.
BERSAMA MENEGAK KEADILAN
MEMIMPIN PERUBAHAN
Yang benar
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat