Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Perutusan Hari Raya Daripada Ketua Pemuda DPPP

Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan setinggi kesyukuran kepada Allah swt. di atas limpah rahmat-Nya, seluruh umat muslimin dapat menyambut Aidil Fitri dengan penuh keberkatan pada hari ini. DPP Pusat mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Puasa kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, mudah-mudahan Hari Raya ini memberikan natijah yang besar kepada perkembangan Islam setelah sebulan kita berada dalam madrasah Ramadhan yang mentarbiyah jiwa, minda dan fizikal kita.

Semangat taqwa Ramadhan yang dilingkari oleh ketaatan kepada Allah secara syumul sangat diharapkan akan menjadi asas kepada perjuangan Islam pada masa akan datang. Roh Badar, Lailatul Qadar, Nuzul Al-Quran dan Aidil Fitri sewajarnya terus menjadi penggerak kepada kesungguhan perjuang untuk menegakkan Islam di negara yang tercinta ini.

Ibadat puasa, zakat, tarawih dan qiamullail juga selayaknya menjadi pemangkin kepada hubungan vertikal dan horizontal di antara pejuang-pejuang Islam dengan Allah dan seluruh manusia yang akhirnya akan menzahirkan kemenangan Islam.

Keseronokan berhari raya bersama keluarga bukanlah semata-mata untuk diisi dengan gelak ketawa dan menonton televisyen sahaja, tetapi perlu diisi dengan takbir, tahmid dan tasbih yang membesarkan Allah swt.

Perperangan Ahzab yang disebut berulang-ulang dalam takbir Hari Raya juga sudah tentu mengingatkan kita betapa perjuangan Islam sentiasa dikepung oleh musuh-musuh Islam yang membentuk barisan yang batil. Hanya kesungguhan dan kekuatan jiwa para pejuang Islam sahaja dapat mempastikan Islam berada di tempat yang selayaknya.

DPP Pusat juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada seluruh penyokong dan pendukung PAS agar memanfaatkan peluang bersama keluarga untuk melebarkan kefahaman masyarakat terhadap keadilan Islam. Kezaliman, kerakusan, penyalahgunaan kuasa dan tipu daya BN mesti dijelaskan demi untuk kecemerlangan umat Islam pada alaf baru ini.

DPP Pusat juga merakamkan jutaan tahniah di atas perubahan sikap umat Melayu Islam terhadap kezaliman BN. Kesedaran inilah yang perlu digerakkan sebagai reformasi daripada tarbiyah Ramadhan dan Aidil Fitri.

DPP Pusat juga mengajak seluruh umat Islam agar membulatkan tekad dan azam untuk membina kehidupan yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah sempena hari yang mulia ini. Kehidupan politik, ekonomi dan sosial berteraskan Islam sudah tentu menjamin keadilan yang menyeluruh kepada umat manusia dan seluruh alam.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com