Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Perutusan Hari Raya Daripada Presiden PAS

Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!

Marilah kita mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita umat Islam menyambut AidilFitri setelah melalui ujian berpuasa sebulan. Bagi pihak pimpinan serta seluruh warga PAS, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri warga PAS dan seluruh umat Islam umumnya. Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam yang bertakwa yang berjaya membebaskan diri dari belenggu hawa nafsu dan seterusnya meneruskan jihad dalam mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah swt.

Kita bersyukur ke hadratNya kerana sambutan Aidilfitri kali ini mempunyai makna yang sangat besar, dimana kita baru saja merangkul kemenangan gemilang dalam pilihanraya umum yang lalu. Kemenangan yang dikurniakan Allah swt ini, setelah kita bekerja keras, tidak syak lagi adalah amanah Allah swt kepad kita yang mesti dipelihara dengan baik dan saya yakin warga PAS mampu memeliharanya.

Tahap kedua selepas kemenangan ini ialah pengisian kepada kemenangan itu sendiri. Kemenangan ini adalah manifestasi betapa besarnya harapan masyarakat terhadap PAS di masa depan di mana mereka telah menerima PAS sebagai parti alternatif Melayu yang memperjuangkan Islam. Belum pernah dalam sepanjang sejarah politik tanahair, sokongan sebesar ini berlaku. Mereka mempunyai keyakinan bahawa PAS, yang dibina dari asas Islam yang kukuh, mampu membebaskan rakyat dari pelbagai kemelut yang mencengkam mereka selama ini.

Justeru itu setiap warga PAS hendaklah melipatgandakan usaha untuk memenuhi amanah yang diberikan kepada PAS ini. Bukan sahaj wakil rakyat kita mesti sentiasa berada di tengah masyarakat, bahkan seluruh warga PAS juga mesti memberikan khidmat apa saja kepada masyarakat. Disamping kita menyebarluaskan dakwah kita hendaklah juga menghulur bantuan perkhidmatan kepada masyarakat. Dengan demikian masyarakat dapat melihat bahawa PAS memiliki segala yang terbaik yang diperlukan sebagai sebuah harakah Islam. Kejayaan kita di masa depan bergantung kepada usaha kita memenuhi tanggungjawab ini. Oleh itu pada kesempatan menyambut Syawal yang mulia ini mari kita memulakan gerak kerja ke arah ini.

Sementara itu kita bersimpati dengan penderitaan dan penderaan yang dihadapi oleh umat Islam di Chechnya, Kashmir, Palestine dan di mana saja. Kita mendoakan supaya pejuang Islam di seluruh dunia berjaya membebaskan mereka dari kesengsaraan, penindasan dan perhambaan.

Seterusnya pada kesempatan ini saya juga mengucapkan terima kasih kepada sahabat di dalam Parti Alternatif yang menunjukkan kerjasama yang erat dalam pilihanraya umum yang lalu, yang memungkinkan kita meraih kemenangan yang besar.

Terima kasih.

Selamat Menyambut Aidil Fitri 1420.

Maaf Zahir Batin

DATO HJ FADZIL NOOR
Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS)




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com