|
Pada hari Jumaat 31hb Disember 1999 semasa saya dan keluarga berada di Komplks PKNS, kami ternampak pemidang mengenai sambutan di Dataran Shah Alam pada malam itu. Acara yang ditulis lebih kurang ialah nasyid kumpulan Rabbani, Brothers, solo Imad dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh seorang artis (nama dirahsiakan). Dibawah pemidang itu, dengan tulisan kecil, ditulis kehadiran kumpulan Senario yang akan mengadakan acara lelong sambil mengutip derma. Saya berpendapat elok juga acara ini jika dibandingkan dengan acara sambutan lain di Terminal satu, Bali, KLCC atau Sunway (sila click Maksiat ) yang pastinya ditaja dan didokong oleh parti sekular dan pemimpin anti-Islamnya termasuk 'ulama besar UMNO seperti Astora Jabat dan Haman (Hamid Othman). Tergerak juga dihati kecil untuk memuji penganjur seperti MPSA dalam usaha kelainan ini.
Pada malam itu, selepas solat Tarawih lebih kurang jam 11.15 malam, saya dan dua anak pun pergilah ketempat tujuan. Saya sendiri serta anak-anak saya telah berniat bahawa perjalan kami adalah untuk mendengar nasyid serta melihat kelainan sambutan di Shah Alam dan tidak terlintas langsung dihati kami untuk menghadirkan diri menyambut alaf baru (budaya kafir). Dan disini ingin saya senaraikan pemerhatian saya sebagai iktibar bagi pembaca semua.
- Setibanya saya, terdengar berkumandang bacaan Quran dari Masjid Negeri bersebelahan (solat Tarawih masih berlangsung) sedang orang ramai sudah berkumpul di Dataran Shah Alam.
- Saya jangkakan lebih kurang 10000 orang hadir pada malam itu dan 95% dari mereka ialah bangsuku Melayu (mengikut kamus Dewan perkataan Melayu bermakna semakin lama semakin layu, sesuai dengan sifat dan akhlak bangsaku).
- Pada masa itu rasanya Timbalan Menteri Besar Selangor sedang menyampaikan ucapan. Kalau tak kenal lagi, inilah pemimpin yang telah mengarahkan Pengarah JAIS (bekas pegawai daerah Sepang!) untuk menghentam dan mengugut surau dan masjid seluruh Selangor kununya membenarkan penceramah menghentam kerajaan dimasjid. Walhal penceramah hanya menyampaikan yang benar daripada ajaran Islam (Quran, Sunnah, Ijma, Qias, Kaedah Fiqh, Sirah sebagainya)
Yang membuat saya sedih dan marah ialah orang inilah juga yang pada malam itu telah menyalah-gunakan pentasnya untuk menyebarkan fahaman politik sekular yang sesat, serta mengutarakan pendapat pertubuhan UMNO yang sesat dan menyesatkan (kalau Arqam boleh diharamkan, sepatutnya UMNO diharamkan dahulu. Cuba bandingkan kedua-dua pertubuhan ini dari segi 'aqidah; sikap terhadap Nabi, Rasul, khalifah dan 'ulama; solat dan 'amalan mereka; pakaian mengikut Islam; perniagaan halal atau haram; dsb). Beliau memuji kepimpinan zalim sedangkan Allah yang menciptakan Astora dan ibunya pun telah mengharamkan kita cenderung kepada orang zalim (Surah Hud :113). Beliau menceritakan tentang pembangunan Malaysia dan Selangor seolah-olah semua duit belanja pembangunan itu dari poket Mahafiraun, kroninya, keluarganya atau UMNO sahaja. Dan seolah-olah kerajaan Non-UMNO atau Non-BN tak boleh buat pembangunan.
- Pada malam itu sempat juga diadakan tazkirah bersama-sama Ustaz Asmungi Hj. Sidek yang saya kira amat tepat memandangkan hadirin yang saya lihat rata-ratanya muda-mudi yang sudah tentu bukan pengunjung masjid. Dan topik yang dibincangkan amat relevan. Tahniah juga kepada Ustaz Asmungi semoga Allah memberikan ganjaran pahala da'wah dan jihad kepada Ustaz dan keluarga. (Bagi ulama pengampu dan penulis upahan UMNO, Allah akan beri ganjaran da'wat dan jahad/jahat/jabat).
- Selepas itu penyanyi Nash telah membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Saya rasa sejuk melihat artis membaca Quran walaupun ada kelemahan dari segi tajwidnya, nafas dan tempat wakaf namun usaha dan keberanian Nash harus diberi pujian. InsyaAllah akan bertambah baik jika terus beramal.
- Rupa-rupanya saya terlewat (yang lebih tepat ialah aturcara program sebenarnya dimulakan tanpa menghiraukan solat Tarawih sudah selesai ataupun tidak) kerana kumpulan Rabbani dan Imad sudah membuat persembahan mereka. Jadi kami cuma sempat menonton nayid kumpulan Brothers sahaja, itupun cuma 3 lagu lebih kurang 15 minit sahaja.
- Kemudian muncul AR Badul yang datang ad-hoc. Lawaknya masih hebat dan selamba dan tidak dibuat-buat seperti dahulu. Caranya spontan menambah keceriaan malam itu. Tahniah kerana berjaya mengawal diri dalam tatasusila Melayu dan Islam.
- Kemudian AR Badul menjemput kumpulan Senario. Rupa-rupanya Senario adalah artis utama malam itu dan mereka diberi kesempatan membuat bising selama 45 minit! Timbul sesalan dihati saya, rupanya penganjur menipu didalam iklan mereka kununnya Rabbanilah artis utama.
- Semasa Badul memperkenalkan Senario seorang demi seorang ada satu soalannya yang saya rasa boleh menjejaskan aqidah dan amat bahaya (sepatutnya di ISA kan kerana menghina Islam). Badul menanya Lan berapa hari tak puasa. Walaupun Lan mungkin malu untuk menjawab atau cuba mencipta jawapan sesuai, beliau didesak dekat 10 kali oleh Badul hinggalah dia menjawab "2 hari" disambut gelak dan tepukan kecil sebahagian penonton. Kemudian Badul mencelah "Janganlah malu nak mengaku tak puasa dua hari. Aku tak puasa seminggu pun orait, tak ada apa-apa pun." Disambut dengan gelak dan tepukan yang lebih gemuruh. Seolah-olah memberi gambaran bahawa puasa itu tak ada apa-apa dan jangan malu bila tak puasa, boleh berbangga!
- Lawak oleh Senario amatlah bising, celupar dan kurang ajar. Yang paling kurang ajar ialah Wahid (yang badan beasar dan rambut crew-cut). Diantara kebiadaban mereka ialah apabila Wahid duduk ditempat Nash membaca Quran dan meniru gaya membaca Quran dan membaca "a'uzubillah.....". Lan menegurnya "Apa hang buat?", Wahid menjawab "Jangan kacau, aku nak mengaji ni!". Lan pun berkata "Tak payahlah mengaji, kita ada benda nak dibuat ni, mari sini." Apabila Wahid bangun, dengan kuasa Allah maka dia tergelincir dan jatuh berdebuk dan kepalanya terhentak kelantai. Nasib baik kayu. Maha suci Allah yang menghukum secara tunai kepada orang yang membuat lawak dan mengajuk ayat-ayatNya. Kepada yang belum dihukum tu, janganlah seronok sangat sebab Allah berfirman didalam Surah Ali-Imran bahawa kegemilangan dan keseronokan manusia kafir (iaitu kafir 'aqidah dan kafir ni'mat) adalah ditangguhkan supaya mereka terus membuat dosa.
- Kemudian semasa Senario mengajak dua penonton naik, sekali lagi Wahid membuat lawak kurang ajar dan menjatuhkan maruah manusia lain. Apabila ditanya nama ibu, gadis diatas pentas itu menjawab "Jaliah" maka Wahid pun bertanya, "Apa? tak dengar. Nama ibu kamu Jahiliyah?" Sebenarnya yang jahil itu ialah dia dan Senario itu. Dan kesemua ahli kumpulan Senario mengambil kesempatan memegang anggota dan menggesel badan kepada gadis itu. Saya rasa kalaulah acara itu diadakan di KLCC, Terminal Satu sebagainya, sudah pasti kondom dan arak habis ditonggang sebahagian penonton dan raba-meraba serta zina dikhalayak boleh dilakukan dan Senario pun boleh tumpang sekaki.
- Permainan mercun mengganggu acara. Kerajaan memfitnah kununnya mercun diharamkan tapi boleh pula dijual dan dibakar. Mercun mana yang haram, yang mana halal dan yang mana pula halam?
- Sambutan Alaf Baru ialah budaya kafir Nasrani/Kristian yang diwar-warkan oleh PM (Pemfitnah Malaysia) sebagai sebahagian dari cara halus UMNO menghancurkan Islam dan menukar Malaysia menjadi Turki. Sambutan Ma'al Hijrah atau tahun 1400 dahulu tak ada apa-apa pun. Walhal Alaf adalah kiraan 1000 tahun dari kelahiran Nabi 'Isa a.s. Kenapa kita tak sambut kiraan dari kelahiran Saiyidul Anbiya?
Maka akhir kalam muhasabahlah diri kita. Sesungguhnya umat manuasia menuju kehancuran dengan kadar yang laju dan dahsyat.
Wassalam
Muhammad Azli
|