RINGKASAN LAPORAN PARLIMEN
Samy nafi lebuh raya tidak diteruskan
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Samy Vellu
menafikan laporan mengatakan beliau tidak akan meneruskan projek lebuh
raya ke negeri Terengganu apabila kerajaan Terengganu menghapuskan bayaran
tol apabila dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Fadzil Mohd Noor
(PAS-Pendang).
Kata Samy: "Saya tidak memaklumkan kepada pemberita itu, kita tidak
menjalankan projek oleh kerana kerajaan Terengganu telah mengambil
keputusan untuk menghapuskan tol, oleh kerana itu pelaksanaan projek lebuh
raya tol boleh jadi atau tidak.
Jadi, saya telah mengumumkan perkara ini akan diambil kepada Jemaah
Menteri. Minta Jemaah Menteri apakah pandangan Jemaah Menteri selepas itu
kita ambil keputusan."
Tambah beliau, kalau kerajaan Terengganu bersetuju menjalankan projek
tersebut untuk diteruskan kerajaan Pusat tidak ada halangan.
Dr Wan Azizah sekadar lewat lima minit
KETIKA Ahli Parlimen pembangkang mengambil keputusan memulau sidang
dewan, akhbar pula mengambil jalan memecahkan pakatan barisan alternatif
dengan melaporkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail keluar lewat iaitu pukul 11.00 pagi daripada Dewan seolah-olah
mahu membayangkan beliau tidak setuju pemulauan itu.
Bagaimana ketika bercakap kepada pemberita Dr Wan Azizah jelas
menyatakan sikap bersama pembangkang lain begitu juga PBS.
Akhbar terbabit tidak pula melaporkan waktu pembangkang mengambil
keputusan keluar dewan iaitu kurang lima minit daripada waktu Dr Wan
Azizah keluar daripada dewan tersebut.
Zam puji PAS guna IT kempen p'raya
MUHAMAD Sabu (PAS-Kuala Kedah) berterima kasih kepada Dato' Zainuddin
Maidin kerana tulisannya dalam akhbar Utusan Malaysia menyatakan bahawa di
pondok panas parti alternatif khasnya PAS penuh dengan komputer sedangkan
Barisan Nasional (BN) masih menggunakan pembaris untuk mencari nama
pengundi.
"Ertinya mereka belajar IT tetapi tidak diguna. Sebab itulah di pondok
panas PAS ramai penyokong BN pergi semak nama mereka untuk mempercepatkan
urusan. Bila mereka pergi check di komputer kita, kita kata undi PAS,
jangan undi BN. Itulah yang kami menang," ujarnya.
Kelantan kena buat permohonan semula
MENTERI Kerja Raya, Dato' Seri Samy Vellu memberitahu kerajaan Kelantan
perlu membuat permohonan semula untuk mendapatkan pinjaman RM600 juta
kerana sebelum ini ada sedikit salah faham mengenai projek pengswastaan
air di Kelantan.
"Pinjaman itu sudah dibangkitkan Perdana Menteri kepada Jemaah Menteri.
Jemaah Menteri sudah menimbangkan. Pada masa itu ada pilihan raya. Seleaps
pilihan raya sudah mula perang...peperangan baru selesai. Saya percaya
lebih baik kerajaan negeri Kelantan memohon semula, bukan kerajaan Pusat
tidak simpati dengan Kelantan," katanya menjawab perkara pinjaman mudah
yang dimohon oleh Kelantan tetapi sampai sekarang belum diluluskan kata
Ketua Pembangkang, Dato' fadzil Mohd Noor (PAS-Pendang).
Tuduhan Umno perlu disiasat
KETIKA Ketua Pembangkang, Dato' Fadzil Mohd Noor kesal kutbah masjid
digunakan untuk kepentingan politik sebagaimana yang berlaku di Masjid
Negara dan telah dilaporkan oleh akhbar dan siaran langsung di televisyen,
Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar pula menyebut khutbah di Masjid
Parit Sembilan, Sekinchan yang digunakan oleh PAS untuk tujuan politiknya.
Jawab Ustaz Fadzil, tuduhan Noh itu perlu disiasat. Apakah benar atau
tidak?
Kalau sudah tahu buat apa tanya - Fadzil
AHLI Parlimen Sri Gading, Mohamad Aziz yang sering mengacau Ketua
Pembangkang, Dato' Fadzil Mohd Noor (PAS-Pendang) membahaskan Rang
Undang-undang Perbekalan Tambahan 1999 akhirnya terkena bila Fadzil Noor
berkata: "Kalau sudah tahu buat apa dia hendak tanya saya."
Perkara itu timbul apabila Dato' Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) meminta
penjelasan dimana kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak mudah
membekalkan air ke Singapura dengan harga murah.
Sebelum itu, Ustaz Fadzil meminta kerajaan memberi pinjaman mudah
kepada Kelantan untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu.
Mohamad Aziz yang mendengar penjelasan Kamarudin itu bangun meminta
laluan daripada Ustaz Fadzil.
Bagaimanapun Ustaz fadzil tidak memberi laluan menyebabkan beliau
berkata: "Saya hendak bertanya tentang Johor. Orang Johor lebih tahu
tentang Johor daripada orang Kedah.
Lalu Ustaz Fadzil berkata: "Kalau dia sudah tahu buat apa dia hendak
tanya saya."
Menteri ketinggalan zaman
MUHAMAD Sabu (PAS-Kuala Kedah) menyifatkan Menteri Kerja Raya, Dato'
Seri Samy Vellu agak ketinggalan zaman walaupun sudah lama berpolitik.
Ini kerana menteri itu yang juga Ahli Parlimen Sungai Siput berkata
lebuh raya ke Pantai Timur hanya sampai di Pahang bila PAS memerintah
Terengganu.
"Lima tahun lagi kalau PAS memerintah Pahang, dia kata jalan cukup
sampai Karak. Ini saya ingat menteri yang agak ketinggalan zaman,"
ujarnya.
Sebab belum menang lagi - Muhamad Sabu
MUHAMAD Sabu (PAS-Kuala Kedah) ketika ditanya Menteri Pembangunan Luar
Bandar, Dato' Azmi Khalid, mengapa beliau masih duduk di situ (kerusi
pembangkang) sedangkan sebelum bubar Parlimen, Muhamad berkata akan duduk
di sini (kerusi kerajaan), berkata sebab tidak menang lagi.
"Itupun tidak faham macam mana jadi menteri macam ini," katanya
menjawab penjelasan Azmi yang cuba menganggu perbahasan beliau mengenai
Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan, Isnin lalu.
|