RINGKASAN SIDANG DUN TERENGGANU II

Sebab ternak babi dibenarkan

Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penduduk bukan Islam tidak dihalang mengamalkan hak mereka dalam sebuah negara Islam termasuk menternak babi.

Bagaimanapun, katanya mereka mestilah memenuhi syarat seperti menjaga kebersihan, tidak mengganggu masyarakat, bebas daripada wabak bahaya seperti JE dan sebagainya.

"Kita bukan buat-buat tanpa ikut syariat," ujarnya.

Majlis serah kuasa tak perlu

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri, Haji Mustafa Ali berkata, majlis serah kuasa antara kerajaan negeri sekarang dengan kerajaan Terengganu sebelum ini tidak perlu diadakan.

Katanya, Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum itu telah berjumpa dengan bekas SUK (masa itu masih SUK) dan SUK itu menyatakan tidak perlu diadakan majlis serah kuasa.

"Tak perlu bersemuka, inilah hakikatnya supaya tiada silap tanggapan," ujarnya sebagai menjawab persoalan yang ditimbulkan pembangkang untuk bersemuka dengan pegawai berkenaan bagi mengetahui kedudukan sebenar.

Pintu ditutup untuk keselamatan

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Muttalib Embong berkata, tindakan mengunci bilik Exco kerajaan yang lalu adalah untuk keselamatan.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan barang-barang bekas Exco berada dalam keadaan selamat dan mereka boleh mengambilnya semula.

Pembangkang tiada kesatuan fikrah

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi negeri, Yahaya Ali meminta pembangkang supaya ada kesatuan fikrah dalam memberikan pandangan kepada kerajaan.

Sementara Ustaz Ismail Mamat (PAS-Teluk Pasu) pula berkata sepatutnya pembangkang memberikan kerjasama dan teguran yang baik kepada kerajaan negeri.

Jawatankuasa Hisbah tahun depan

Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Tun Mohd Salleh Abas memberitahu, jawatankuasa Hisbah akan dibentuk pada tahun depan.

"Jawatankuasa ini akan menentukan garis sempadan setakat mana Hisbah boleh buat," katanya.

Katanya, jawatankuasa Hisbah akan memastikan pemerintahan dan pentadbiran bersih daripada segala bentuk rasuah, ketidakadilan, diskriminasi, penyalahgunaan kuasa, nepotisme, kronisme dan lain-lain dalam melaksanakan pemerintahan dengan ketelusan.

Petani, nelayan miskin diberi perhatian

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan Ternakan negeri, Ustaz Abu Bakar Chik berkata, pihaknya akan memberikan tumpuan untuk mengatasi masalah para petani dan nelayan yang miskin.

Katanya, program sebenar telah diatur dalam konteks pembahagian tanah dan projek kelompok dalam usaha mengatasi masalah tersebut.

Penempatan tepi laut, tebing sungai diutama

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Muttalib Embong memberitahu, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada penduduk yang tinggal di tebing sungai dan tepi laut dalam soal penempatan.

Ini kerana mereka sering terdedah kepada ancaman hakisan apabila berlaku banjir.

Dipetik Daripada HARAKAH