BERITA RINGKAS NEGERI TERENGGANU

 

Ceramah MB 23 Disember

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ceramah bersama Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Dato' Wan Isa Long pada 23 Disember di Stadium Negeri. Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Rakyat itu adalah anjuran JHEAT yang bermula pada jam 9.30 malam.

 

Serap pemimpin KeADILan

MARANG: Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi jaminan akan mengambil para pemimpin Parti KeADILan Nasional terutama di kalangan Pemuda untuk mengisi kekosongan dalam jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap ringkas mengalu-alukan rombongan para pemimpin Pemuda KeADILan yang diketuai ketuanya, Mohd Ezam Mohd Noor di rumahnya, di Rusila, baru-baru ini.

 

Tok Guru pimpin Terengganu

KEMAMAN: Pegawai Daerah Kemaman, Dato' Ismail Sulong merakamkan ucapan tahniah serta penghargaan kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang baru dilantik menjadi Menteri Besar.

Katanya, pelantikan tersebut amat dialu-alukan agar satu perubahan politik berlaku dalam kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-10, baru-baru ini."Menteri Besar Terengganu kali ini dipimpin oleh seorang Tok Guru," ujarnya di majlis berbuka puasa serta tazkirah bersama MB Terengganu, di kediaman rasminya, di sini.

 

Kerajaan perlukan pembangkang

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan negeri tidak bercadang mengemukakan petisyen pilihan raya.

Katanya, kerajaan negeri juga memerlukan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri bagi mendengar pandangan mereka.

"Kita (kerajaan) perlukan pembangkang," ujarnya ketika menjawab pertanyaan wartawan di sidang akhbar di pejabatnya, baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi ruang yang cukup terutama kepada pembangkang serta tidak ada soalan yang ditolak dalam sidang Dun.

Tambahnya lagi, semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) banyak soalan-soalan yang dikemukakan oleh PAS ditolak.

 

Dipetik Daripada HARAKAH