DOTMAI
Hishamuddin Rais
Laporan Penuh : malaysiakini.com
Jan 6: Minggu lepas, sesiapa saja yang diusik tamadun moden pasti tahu bahawa manusia telah memasuki alaf baru. Sama ada mereka bersetuju atau tidak bahawa Isa dari Nazareth dilahirkan pada 25 Disember atau pada 7 Januari bukan persoalan asas. Asasnya ialah manusia moden telah bersetuju menerima satu tarikh untuk dirayakan bersama. Penerimaan tarikh perubahan alaf ini berkait rapat dengan pengalaman kolonial dan pascapenjajahan.
Setiap bangsa dan budaya mempunyai hari, detik dan ketika yang menjadi titik tarikh yang dianggap penting dalam tamadun mereka. Orang Parsi menyambut Naurus sebagai tarikh awal tahun mereka. Kaum Tionghua menyambut tahun baru apabila berakhirnya musim sejuk dan bermulanya musim bunga. Bangsa-bangsa yang maju tamadun mereka pada zaman kuno dahulu seperti India, Arab, Greek dan China mempunyai kalendar masing-masing.
Dikaji secara ilmiah, maka didapati bahawa semua detik, ketika dan tarikh yang dijadikan titik permulaan sesuatu peristiwa akan bersangkutan dengan pertanian, kehidupan penerokaan dan peralihan musim. Ngawi di Sarawak adalah pesta menuai. Pesta puja pantai di Pantai Timur dirayakan sebelum datangnya musim tengkujuh.
Apa yang terjadi pada 31 Disember yang lalu ialah satu tarikh telah diterima oleh semua masyarakat dunia untuk dirayakan bersama. Untuk pertama kalinya, masyarakat dunia yang melintasi jumlah empat ribu juta orang telah merayakan satu tarikh yang sama. Ingatan kolektif ini pula dijana oleh teknologi yang tercanggih. Media cetak dan elektronik memperkuatkan lagi kelahiran ingatan kolektif terdapat tarikh ini.
Tidak salah dan tidak ada yang benar mengenai tarikh ini. Tidak mungkin tarikh dan pesta menyambut tarikh ini boleh dihuraikan dengan hanya satu pandangan moral. Moral manusia dari satu zaman ke zaman yang lain berbeza dan berubah-ubah. Moral adalah satu yang terlalu cair untuk dijumudkan. Moral dan peradaban manusia berubah mengikut asas ekonomi yang wujud. Asas ekonomi dan tenaga yang menjana ekonomilah yang mengubah budaya, moral dan fikrah manusia.
Justeru itu suasana pesta yang berlaku minggu lepas adalah gambaran yang hakiki tentang tahap tamadun kita pada hari ini. Manusia akan terus berpesta untuk melarikan diri daripada rutin dan kebosanan hidup. Manusia akan melakukan apa saja untuk mencari kegembiraan. Semua budaya termasuk budaya Melayu mempunyai elemen-elemen tertentu sama ada makanan, hisapan atau minuman yang digunakan untuk mengubah status pemikiran.
Ganja, tapai, air kelapa masam, asap daun kecubung, cendawan tanah adalah elemen yang digunakan untuk mengubah status minda ketika mencari kegembiraan. Elemen-elemen ini bukan dibawa oleh Barat atau Mat Saleh tetapi adalah sebahagian daripada budaya Melayu. Orang Arab mempunyai daun kif, ganja, hashih, arak dan air anggur masam. Harus disedari bahawa beer atau bira dalam bahasa Arab yang wujud hari ini adalah hasil dari penemuan budaya Arab Mesir kuno.Al-kohol juga adalah hasil sumbangan budaya Arab kepada tamadun semua bangsa.
Untuk menuduh pesta pada minggu lepas sebagi pesta arak mungkin kurang tepat. Tidak semua orang yang berpesta minggu lepas bermandikan arak. Berpesta dan mencari kegembiraan hidup bukan satu kesalahan. Tidak ada budaya yang menggalakkan kesedihan atau hidup dalam kemurungan. Apa yang patut ditekankan di sini ialah seharusnya kita berkumpul dan berpesta untuk melihat kembali identiti dan jati diri kita. Kita wajib menghitung kembali dua dekad lepas di
mana hak-hak asasi kita semakin terhakis. Dua dekad ini juga melahirkan satu suasana di mana ruang demokrasi kita semakin disempitkan.
Ruang kebebasan seharusnya bukan hanya diberikan untuk berpesta dan menari sahaja. Ruang kebebasan seharusnya merangkumi hak-hak kita untuk berkumpul dan berpesta demi menentang kezaliman dan penindasan. Pesta untuk menegakkan demokrasi dan keadilan pasti lebih hidup, bernyawa dan meriah. Pesta demokrasi bersifat demokratik - sesiapa saja boleh berpesta untuk demokrasi. Yang tua, yang muda, yang beragama dan yang tidak beragama akan diterima dalam pesta demokrasi. Pesta demokrasi akan meleraikan kezaliman dam kemungkaran. Dentuman dan percikan demokrasi lebih hebat sinar serta bunyinya daripada dentuman mercun dan bunga api.