Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kenapa Permohonan Rumah Disemak

Kerajaan negeri melakukan semakan terhadap permohonan rumah kos rendah bagi memastikan tiada pemohon yang sudah mempunyai rumah mendapat kelulusan sedangkan mereka yang benar-benar memerlukan tidak memperolehinya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri Wan Abdul Mutalib Embong berkata hasrat kerajaan negeri ialah memastikan semua rakyat mendapat hak mereka asalkan permohonan mereka memenuhi syarat.

Antara syarat itu ialah berpendapatan bulanan bawah RM2,000, sudah berkahwin dan mempunyai anak, tidak mempunyai rumah sendiri dan merupakan permohonan pertama, dan berkeupayaan membayar balik pinjaman, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan mengenai pemohon-pemohon rumah kos rendah yang dibatalkan permohonan mereka dan diminta mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan rumah kos rendah.

Wan Mutalib berkata kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap rakyat mengenai pengagihan rumah kos rendah, dan tidak timbul soal penyokong Barisan Nasional (BN) atau Pas.

Mengenai tindakan menaikkan harga rumah kos rendah daripada RM25,000 kepada RM28,000 seunit, beliau berkata kenaikan itu adalah untuk semua projek baru dan tidak melibatkan projek yang telah dibayar oleh pemohon atau yang sedia ada.

"Kenaikan harga RM3,000 itu adalah kerana kita meningkatkan kemudahan infrastruktur di projek perumahan kos rendah berkenaan seperti meningkatkan sistem perparitan, kemudahan persekitaran dan rumah lebih berkualiti," katanya.

Beliau berkata kenaikan itu dalam lingkungan pelarasan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan yang menetapkan harga siling rumah kos rendah antara RM25,000 dengan RM35,000, dan sehingga RM40,000 bagi kawasan bandar.

Antara projek baru yang terlibat dengan kenaikan harga itu ialah di Taman Permint Perdana di Seberang Takir yang melibatkan sebanyak 480 unit rumah.

Wan Abdul Mutalib berkata bagi projek perumahan yang dilaksanakan oleh swasta, kerajaan negeri akan memastikan pemaju menyediakan kuota rumah kos rendah di kawasan perumahan itu dan ia mesti menepati harga yang ditentukan.

Mengenai penduduk yang terlibat dengan hakisan pantai di Kuala Ibai, beliau berkata kerajaan negeri sedang mencari kawasan untuk menempatkan penduduk yang terlibat dengan masalah itu di sekitar kawasan berhampiran.

"Antara 200 dan 250 buah keluarga terlibat dengan hakisan itu terutanma di kawasan lagun Kuala Ibai dan kita sedang mengatur rancangan untuk menempatkan mereka semula ke kawasan-kawasan yang lebih selamat," katanya.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com