'Ein Azmi
Laporan Lenkap : www.malaysiakini.com
8pm, SEL: "Kerajaan tidak berani mengharamkan
Harakah," menurut Zunar, "walaupun isu ini hangat
sekarang." Jika cuba mengharamkan tabloid PAS ini,
kerajaan semakin tidak popular; sebaliknya, akhbar ini
terus mendapat sambutan ramai, kata kartunis Harakah
itu kepada malaysiakini hari ini.
"Kemungkinan Harakah diharamkan adalah tipis."
Pada Khamis dan Jumaat lalu sebanyak 2,630 naskhah
Harakah dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)
dalam satu operasi di Lembah Kelang. Jurucakap
bahagian pemasaran Harakah menyatakan sudah tiga kali
operasi rampasan seumpama dijalankan tahun ini
sahaja.Tabloid yang diterbitkan dua kali seminggu itu
terjual sebanyak 300,000 pada setiap keluaran.
Menjelang kempen pilihan raya umum lalu organ PAS ini
dicetak sebanyak 400,000 naskhah dan mendapat sambutan
hangat.
Pemerhati politik berpendapat salah satu punca
kejayaan parti Islam itu adalah kerana liputan dan
pengaruh Harakah. Akibatnya pihak kerajaan berasa
perlu untuk mengawal pengaruh lidah rasmi PAS itu.
Semalam beberapa ahli Dewan Negara menggesa akhbar itu
agar lebih bertanggungjawab memastikan edarannya
terhad kepada ahli-ahli parti itu sahaja.
Senator Datuk Zainuddin Maidin, Timbalan Pengerusi
Eksekutif Kumpulan Utusan, pula berpendapat tabloid
itu "menyebarkan pembohongan yang dahsyat."