Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

UMNO Kalah, HARAKAH dipersalahkan

Sudah menjadi kemestian bagi saya, setiap hari, Laman Reformasi dan Harakah Daily mesti saya tatapi dan seolah-olah menjadi 'candu' pula - terasa kepuasannya dan amat seronok mengikuti setiap perkembangan terkini yang diutarakan. Dah lama saya ingin turut serta menyumbangkan idea dan pendapat serta sama-sama berkongsi pandangan dengan para sahabat semua.

Untuk makluman, saya adalah anak jati Terengganu di perantauan dan dari dahulu lagi memang menyokong perjuangan PAS. AlhamduliLlah, setelah sekian lama istiqamah dalam perjuangan, kini Terengganu dapat ditawan disamping kekal berkuasa di Kelantan dan merampas banyak kerusi di Pahang, Kedah dan Selangor (disamping tambahan kerusi di negeri-negeri lain). Tahniah kepada para pengundi BA semua - percayalah pilihan anda amat tepat sekali.

Setelah kalah begitu teruk samada di peringkat Parlimen dan DUN terutama dari segi majoriti undi yang jatuh merudum, para pemimpin UMNO masih lagi bermimpi dan mengigau di siang hari terikut-ikut dengan keegoan Pemimpin Tertinggi mereka - mereka gah kononnya mereka menang besar - tak tahulah saya conggak matematik mana yang digunakan.

Dari post mortem yang dilakukan dulu, mereka akui kekalahan mereka tetapi sebab utama yang diberikan adalah kerana FITNAH dari pembangkang dan akhirnya akhbar tabloid PAS, Harakah yang menjadi mangsanya. Bagi pemimpin/pengampu UMNO, mereka tidak pernah untuk cuba menghisab diri sendiri dan cuba mencari punca kelemahan diri sendiri. Bagi mereka kerana 'FITNAH' pemimpin pembangkang yang dimuatkan dalam Harakahlah yang menyebabkan mereka dipandang hina oleh rakyat.

Jika dilihat apalah ada pada akhbar tabloid seperti Harakah, hanya dikeluarkan seminggu dua kali dan hanya dibenarkan edarannya di kalangan ahli PAS sahaja berbanding banyak media utama yang berada di bawah telunjuk mereka. Jelas kepada kita, walaupun Harakah hanya akhbar kecil tapi ianya kecil-kecil cili api, hinggakan begitu ramai pemimpin UMNO yang melenting kepedasan tapi bagi penyokong BA, Harakah ibarat penaik selera dalam hidangan dan amat berselera sekali bila dijamah.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pemimpin UMNO untuk mengelakkan Harakah daripada terus dibaca oleh rakyat dan nampaknya kesemua usaha tersebut adalah untuk menutup terus penerbitannya. Bermula dari kaedah pengedaran, penangkapan Ketua Pengarangnya serta pencetaknya dan akhirnya dijangkakan keputusan mahkamah 'HARAKAH DIHARAMKAN PENERBITANNYA' atau ' HARAKAH DIGANTUNG PENERBITANNYA'. Walaupun itulah keputusannya nanti, percayalah sokongan terhadap BA terutama PAS tak akan berubah, malah sokongan Insya ALLAH akan semakin bertambah dan kita akan dapat lihat gelombang pendaftaran keahlian PAS akan bertambah.

Kini ada usaha dari PAS untuk mengeluarkan akhbar harian 'PURNAMA' melalui Pustaka Muttaqqin Sdn Bhd. Saya secara peribadi tidak yakin usaha ini akan berjaya tetapi marilah kita sama-sama berdoa agar ianya akan menjadi kenyataan kerana tiada yang mustahil dalam ketentuan ALLAH.

Cucu Tokku Paloh
Hulu Kelang




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com