KUALA TERENGANU,
23 Dis - Naib Presiden PAS Haji Hassan Shukri dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu Safinah Jusoh hari ini dipilih menjadi anggota Dewan Negara mewakili Terengganu.
Dua kerusi itu dikosongkan oleh Rosli Mat Hassan dan Hassan Ali kedua-duanya senator dari Umno yang kalah pada pilihan raya umum ke-10 lepas. Rosli bertanding di Paka dan Hassan di Tepoh.
Yang Dipertua Dewan, Ust Husain Awang mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri dimaklumkan Sultan Terengganu supaya diadakan pemilihan anggota Dewan Negara berikutan kekosongan itu.
Pemilihan Hassan dicadang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri Mustafa Ali manakala Safinah dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri Harun Taib pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman.
Haji Mustafa berkata Ust Hassan, 60, kelahiran Selangor yang mempunyai pengalaman luas terutama dalam bidang agama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pernah menjadi Naib Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), anggota Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan anggota jawatankuasa undang-undang syariah MAIWP.
"Pengalaman beliau diperingkat antarabangsa dengan mengikuti persidangan Islamiah di Riyadh, Baghdad dan London diharap dapat memberi sumbangan dalam Dewan Negara nanti," katanya.
Safinah, 45, ibu kepada tiga anak merupakan antara pengasas Institut Berakan di Terengganu dan terlibat secara langsung dalam kerja-kerja sosial di negeri ini.
Harun berkata Safinah yang berasal dari Kuala Terengganu dan pernah menjadi guru di Maktab Adabi dan Sekolah Menengah Sultan Ismail adalah lulusan dari Institut Teknologi Mara dan mempunyai Diploma dalam Tasawur Islam.
Persidangan dewan hari ini juga meluluskan dua rang undang-undang - Enakmen Perbekalan (2000) 1999 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang dan Enakmen Perbekalan Tambahan (1999) (No.2) 1999.
Dewan yang bersidang selama empat hari bermula 20 Dis lepas turut meluluskan lima usul - peruntukan perbelanjaan Rancangan Pembangunan Negeri bagi Tahun 2000, peruntukan dari Kumpulan Perbekalan Air Negeri bagi Tahun 2000, peruntukan dari Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk Perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negeri bagi Tahun 1999, melantik Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri dan melantik Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri.
Persidangan Dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.