|
KUALA LUMPUR, 23 Dis - Datuk Kamaruddin
Jaafar (PAS-Tumpat) berkata kerajaan perlu menyiarkan di media massa
senarai syarikat-syarikat swasta yang enggan membayar cukai
korporat.
"Ini akan memberi pengajaran kepada mereka supaya
tidak mengabaikan tanggungjawab kepada negara," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga harus memberikan perhatian
khusus terhadap syarikat-syarikat yang tidak perlu membayar cukai
korporat kerana mengalami kerugian.
Menurutnya,
syarikat-syarikat yang mengalami kerugian biasanya tidak mampu
mencarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Kerajaan mesti
memastikan syarikat-syarikat berkenaan tidak menjadikan alasan
kerugian sebagai sebab mereka tidak perlu mencarum ke dalam akaun
KWSP dan Perkeso pekerja mereka,"katanya.
Haji
Husam Musa (PAS-Kubang Kerian) pula mencadangkan supaya
pengisytiharan harta oleh anggota barisan kabinet perlu dimajukan
kepada satu jawatankuasa yang dibentuk oleh Parlimen.
"Pengisytiharan harta itu juga harus dimasukkan harta yang
dipunyai oleh anak-anak mereka serta keluarga terdekat...sebab
mungkin menteri tak ada harta tetapi anak dan keluarga terdekat ada
harta," katanya.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Shafie
Salleh ketika menggulung perbahasan berkata kerajaan tidak bercadang
mengurangkan cukai korporat.
Rang
undang-undang yang bertujuan membolehkan pembayar cukai mentaksir
sendiri cukai pendapatan mereka itu kemudian diluluskan tanpa
pindaan.
Shafie semasa membentangkan rang undang-undang itu
berkata Sistem Taksiran Sendiri (STS) akan menggantikan Sistem
Taksiran Rasmi (STR) yang dilaksanakan sebelum ini.
|