Pengerusi UMNO Negeri Baru - Strategi 11 Mei

KUALA LUMPUR, 3 Jan - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pelantikan pengerusi Badan Perhubungan Umno yang baru bagi empat negeri.

Mereka ialah Menteri Besar Pahang Datuk Adnan Yaakob bagi Pahang, Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam (Melaka), Menteri Besar Kedah Datuk Syed Razak Syed Zain (Kedah) dan Menteri Besar Perak, Datuk Tajol Rosli Ghazali (Perak).

Tengku Razaleigh Hamzah kekal pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan manakala Terengganu dipengerusikan oleh naib presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

Sebelum ini Umno Pahang diketuai oleh Tan Sri Khalil Yaakob yang kini Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno, Melaka oleh Datuk Abu Zahar Isnin yang kini Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri, Kedah oleh bekas Menteri Besar Tan Sri Sanusi Junid dan Perak oleh bekas Menteri Besar Tan Sri Ramli Ngah Talib yang kini Timbalan Menteri Pengangkutan.

Umno Terengganu pula dahulunya diketuai oleh bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad tetapi beliau tewas dalam pilihan raya umum lepas.

Dr Mahathir juga berkata MT mengingatkan semua anggota parti supaya lebih komited dan tidak terpesong dengan keghairahan merebut tempat dalam parti.

"Mereka juga diingatkan supaya tidak perlu setia kepada seseorang individu tetapi sebaliknya kepada parti," katanya.

Dr Mahathir menasihatkan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional daripada Umno supaya melaksanakan tanggungjawab termasuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan persidangan Dewan Undangan Negeri.

MT hari ini juga berbincang mengenai usaha untuk mengesahkan keahlian parti sebelum Umno mengadakan perhimpunan agungnya pada 11 Mei ini.

Katanya, ini dapat dilakukan menerusi kursus-kursus yang akan dianjurkan untuk ahli parti menjelang perhimpunan itu nanti.

"Tindakan mengesahkan ahli Umno perlu kerana kita nak tentukan (nama) ahli Umno yang sudah meninggal dunia dan lain-lain dapat diasingkan," katanya.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com