Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Hentikan Penindasan Terhadap Kebebasan Bersuara dan Kebebasan Akhbar

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) berasa kecewa dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menindas kebebasan bersuara dengan mengambil tindakan terhadap suratkhabar yang dikatakan pro-pembangkang iaitu Harakah, Eksklusif, Wasilah, Detik dan Tamadun. Tindakan KDN ini seolah-olah merupakan suatu ulangan "Operasi Lalang" pada tahun 1987 dimana 3 suratkhabar nasional, The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan ditutup dan ditarik permitnya.

SUARAM mengutuk tindakan KDN yang mengunakan alasan bahawa "menyiarkan terlalu banyak berita pembangkang" untuk menarik balik permit sesuatu suratkhabar atau media percetakan. Ini adalah ancaman terhadap kebebasan suratkhabar secara terang-terang. Suratkhabar yang bertanggungjawab perlu melaporkan isu sebenar dan memuatkan pendapat semua pihak dengan objektif. Dengan adanya sifat kebebasan bersuara dan kebebasan media barulah sebarang fitnah dan penipuan dapat didedahkan. Jelasnya alasan-alasan lain seperti "menyebarkan fitnah" (Eksklusif), "tidak mencetak nama penuh" (Wasilah) dan "melantik ketua editor tanpa menghubungi KDN" (Detik) tidak kukuh dan tidak perlu dikenakan hukuman yang manDatukri .

KDN perlu bertindak sebagai agensi kerajaan yang profesional dan tidak tersungkur untuk menjaga kepentingan segelintir pemerintah sahaja. Suka diingatkan tindakan KDN ini adalah bertentangan dengan semangat kerajaan untuk tidak menyekat kebebasan bersuara dalam membangunkan "Masyarakat Informasi dan Multimedia" seperti MSC. Malah tindakan KDN ini telah mengundang bantahan daripada pelbagai pihak termasuk daripada NGO-NGO dalam Negeri mahapun kumpulan wartawan seperti Perikatan Akhbar Asia Tenggara (Southeast Asia Press Alliance) dan Reporters Sans Frontieres (RSF).

SUARAM menyeru KDN supaya menarik balik keputusan tidak memperbaharui permit Detik. Begitu juga dengan tindakan menghadkan penjualan Harakah dan akhbar-akhbar pembangkang kepada ahli-ahlinya sahaja. Ini amat bertentangan dengan prinsip demokratik dimana setiap manusia mempunyai hak untuk bersuara dan mendapatkan maklumat. Sudah sampailah masa bagi kerajaan memansuhkan Akta Percetakan dan Penerbitan yang menyekat kebebasan akhbar di Malaysia. Rakyat Malaysia seharusnya memandang serius terhadap gangguan KDN terhadap lima penerbitan ini, sebelum hak bersuara dan hak kebebasan akhbar terhakis sepenuhnya !

Dikeluarkan Oleh,

Justin Yong
Penyelaras SUARAM



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com