"Berkenaan pelantikan SUK, itu hak SPN...saya tak boleh
umumkan kerana tidak mendapat keputusan daripada SPN lagi," katanya
kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman.
Beliau
berkata bagaimanapun, pelantikan SUK baru itu akan dibuat
selewat-lewatnya esok memandangkan persidangan Dewan Undangan Negeri
akan bermula Isnin ini.
"Saya akan maklumkan pelantikan itu
sebaik sahaja menerima keputusan daripada SPN...mungkin hari ini,
mungkin esok," katanya.
Pelantikan SUK yang baru perlu
dibuat berikutan peletakan jawatan Datuk Che Mat Jusoh yang
mengambil keputusan untuk bersara awal berkuatkuasa 16 Dis lepas.
Haji Abdul Hadi berkata tugas-tugas SUK kini berjalan seperti
biasa walaupun tempat itu kini masih belum diganti.
"Kerja-kerja SUK berjalan seperti biasa...pelantikan SUK
baru kita ikut peraturan yang ada," katanya.
Che Mat, 50,
dilantik ke jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri itu
pada 20 April lepas menggantikan Datuk Baharuddin Ismail yang
meninggal dunia.
Beliau sebelum itu merupakan Timbalan Yang
Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) dari 1995
sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua MPKT awal tahun ini.
Perkhidmatan Che Mat sepatutnya berakhir Oktober 2004.
Che
Mat merupakan antara pegawai tadbir kerajaan negeri yang ditukarkan
oleh kerajaan PAS Terengganu selepas parti itu memenangi pilihan
raya umum ke-10, 29 Nov lepas.
Pada 7 Dis lepas, lapan
pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Sulit Kanan
menteri besar, Datuk Mohamad Ngah, Timbalan Setiausaha Kerajaan
Negeri (Pentadbiran) Datuk Ismail Sulong dan Pengarah Yayasan Islam
Terengganu Datuk Alwi Mohamad ditukarkan.
Seminggu kemudian,
kontrak perkhidmatan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Datuk
Azman Muda dan Pengarah Yayasan Terengganu Datuk Saidi Mohamed yang
sepatutnya berakhir pada 2001 ditamatkan secara mengejut
berkuatkuasa Khamis lepas.