MB IKUT SULTAN SAMPAIKAN SUMBANGAN

KUALA TERENGGANU, 2 Jan - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abdidin dan Permaisuri Nur Zahirah hari ini menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada pesakit kusta dan kanak-kanak istimewa dari seluruh negeri ini.

Sumbangan berupa hamper, wang tunai, mesin jahit, kerusi roda dan basikal bagi anak-anak pesakit itu disampaikan kepada 200 orang pesakit kusta dan 75 orang kanak-kanak istimewa.

Turut hadir pada majlis anjuran Persatuan Membantu Pesakit Kusta Malaysia (MaLRA) cawangan Terengganu ialah Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang dan Yang Dipertua MaLRA Cawangan Terengganu Datuk Victor Isaacs.

Isaacs, ketika berucap pada majlis itu berkata sebanyak 26 kes baru penyakit kusta dikesan di Terengganu pada tahun 1998 dan 1999 dan daripada jumlah itu masing-masing enam kes dikesan di Kuala Terengganu, Marang, empat di Kemaman, masing-masing dua kes di Hulu Terengganu dan Dungun manakala selebihnya di Besut dan Setiu.

"Sejak MaLRA cawangan Terengganu ditubuhkan pada 1978, lebih kurang 615 pesakit kusta telah diletakkan di bawah jagaan kami dan jumlah itu kini menurun kepada 300 orang" katanya.

Beliau berkata persatuan bercadang untuk mendirikan beberapa buah bengkel bagi memberi latihan kemahiran dalam pelbagai bidang kepada pesakit yang telah pulih.

Isaacs berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk menggalakkan pesakit kusta yang telah pulih berdikari dan tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan atau orang ramai.

Katanya menurut kajian yang dibuat oleh MaLRA terdapat lapan kes penyakit kusta dikesan di kalangan pendatang asing dan dengan itu beliau meminta kerajaan membuat pemeriksaan rapi terhadap pendatang asing yang memasuki negara ini bagi mengelakkan penyakit itu merebak.

"Kami merasakan lebih ramai lagi pendatang asing yang berpenyakit tetapi tidak dilaporkan apatah lagi mendapat rawatan yang sepatutnya", katanya.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com