Ketua Pembangkang Datuk Haji Fadzil Noor mengangkat
sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di persidanganan Parlimen semalam
KUALA LUMPUR, 20 Dis -
Semua anggota parlimen pembangkang bertindak keluar daripada
persidangan Dewan Rakyat ke-10 hari ini sebelum mengangkat sumpah
jawatan kerana mendakwa persidangan dewan tidak sah.
Mereka mula meninggalkan dewan pada kira-kira
pukul 10.55 pagi. Bagaimanapun, Presiden Parti Keadilan Nasional
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Bersatu Sabah
(PBS) Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berada seketika di dalam
dewan.
Dr. Wan Azizah dan Pairin hanya keluar daripada dewan
kira-kira pukul 11 pagi iaitu sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Mahathir Mohamad hendak memulakan angkat sumpah beliau.
Antara yang keluar itu ialah 25 anggota PAS, 10 (DAP), lima
(Keadilan) dan tiga (PBS). Dua lagi anggota PAS iaitu Haji Abdul Hadi
Awang (Marang) dan Haji Mustafa Ali (Dungun) tidak hadir pada majlis
tersebut kerana ada Persidangan Negeri Terengganu.
Anggota pembangkang terbabit hanya masuk semula ke
dalam dewan pada pukul 12.15 tengah hari bagi mengangkat sumpah
jawatan masing-masing.
Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Mohd
Nor berkata pihaknya bertindak keluar
dewan sebagai tanda protes terhadap persidangan kali ini yang
dianggap sebagai tidak sah mengikut Perlembagaan.
Beliau
berkata persidangan ini tidak sah kerana notis memanggil mesyuarat
Parlimen bertarikh 13 Dis yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan
Agong dibuat tanpa mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri yang
hanya dibentuk pada 14 Dis.
Menurutnya, pihaknya
bagaimanapun membuat keputusan untuk menyertai upacara mengangkat
sumpah bagi membolehkan semua anggota pembangkang mengambil bahagian
dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.
"Kita akan mengangkat
sumpah, tetapi dengan bantahan. Angkat sumpah ini penting bagi
membolehkan kami menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh
rakyat," katanya.
Ditanya oleh pemberita kenapa Dr. Wan Azizah keluar dewan
agak lewat dan adakah rancangan untuk keluar dewan diputuskan dalam
mesyuarat pra-majlis Barisan Alternatif semalam, Fadzil berkata:
"Pergi tanya dialah...walaupun dia tidak keluar tetapi setakat yang
saya maklum, dia (Dr. Wan Azizah) membantah sama seperti anggota
pembangkang lain."
Dr. Wan Azizah yang ditemui berkata beliau memprotes persidangan Dewan Rakyat kali ini kerana ia
dibuat tidak mengikut Perlembagaan.
"Demokrasi yang
sebenarnya mestilah berasaskan undang-undang. Adalah tidak patut
Barisan Nasional bertindak sesuka hati semata-mata kerana ia
mempunyai suara dua pertiga dalam Parlimen," katanya.
Pairin
berkata beliau juga bersetuju dengan tindakan anggota-anggota
pembangkang lain yang memprotes persidangan Dewan Rakyat kali ini.