BERPULUH-PULUH RUMAH DIANCAM OMBAK DI SEBERANG TAKIR

KUALA TERENGGANU, - Berpuluh-puluh rumah di Kampung Baru dan Hujung Tanjung, Seberang Takir di sini berada dalam keadaan bahaya apabila dihakis ombak malam tadi.

Sesetengah daripada penghuninya, yang kebanyakannya adalah nelayan, membuat persiapan untuk berpindah jika keadaan semakin bahaya.

Jurucakap polis Seberang Takir hari ini berkata kejadian itu mula berlaku apabila angin bertiup kencang dan ombak besar sejak petang semalam.

Sementera itu, Pengawai Kebajikan Daerah Kuala Terengganu, Mohamed Noor Chik berkata satu keluarga mungkin dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir disebabkan rumahnya terhakis teruk.

"Keluarga itu akan berpindah pada bila-bila masa kerana tiang rumahnya sudah tergantung," katanya.

Mohamed Noor berkata rumah penghuni lain turut terhakis tetapi masih boleh bertahan dan tiang rumah belum begitu teruk.

Beliau berkata pihak jabatan sekarang sedang membanci rumah-rumah yang terbabit dan menasihatkan mereka supaya berpindah jika perlu.

Beberapa nelayan nelayan di situ pula berkata bahawa ombak mungkin pasang lebih besar lagi terutamanya pada waktu malam terutamanya semasa angin bertiup kencang.

Mereka khuatir rumah-rumah di tepi pantai Seberang Takir dihanyutkan ombak seperti yang pernah berlaku di Kampung Tanjung.