Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

PERBICARAAN KES PERHIMPUNAN HARAM DITANGGUH

KUALA LUMPUR, 25 Jan - Mahkamah Majistret di sini hari ini menangguhkan sehingga esok perbicaraan lapan orang termasuk pemimpin Parti Keadilan Nasional yang menghadapi tuduhan menyertai perhimpunan haram di Jalan Sultan Mohamed pada 11 Sept tahun lepas.

Majistret Norshila Kamaruddin membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan peguam C.V.Prabhakaran yang menyatakan bahawa pihaknya belum menerima percakapan beramaran orang yang diwakilinya dan laporan maklumat pertama.

Prabhakaran mewakili bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, 35, yang merupakan antara orang yang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Selain Mohamed Azmin, turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu ialah Ketua Pemuda Keadilan Mohamed Ezam Mohd Nor, 32, bekas aktivis pelajar Hishamuddin Md Rais, 48, kartunis Zulkiflee S.M. Anuarul Haque atau Zunar, Tan Soi Kow, 45, Zaharuddin Ayob, 34, Anuar Zalik, 47 dan Abdul Ghani Harun.

Kesemua mereka diwakili tiga peguam Gurmit Singh, Kasturi Krishnan dan Christie Soosay.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didapati berada dalam satu perhimpunan haram di Jalan Sultan Mohamed di sini pada lebih kurang pukul 3.30 petang, 11 Sept tahun lepas.

Mahkamah menetapkan tiga hari mulai hari ini untuk perbicaraan kes tersebut. Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com