Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Tangkapan untuk selesaikan krisis Umno

Ng Boon Hoi

Laporan sepenuhnya : malaysiakini.com

Jan 15: Di saat-saat masyarakat Melayu sedang menyambut perayaan Aidil Fitri yang mulia, mereka digemparkan dengan isu penahanan tokoh-tokoh pembangkang. Beberapa tokoh utama pembangkang dan media utamanya, Harakah, diseret ke mahkamah hanya beberapa hari selepas sambutan hari mulia yang sewajarnya dipenuhi rasa syukur kepada Tuhan dan saat terbaik saling bermaaf-maafan. Ini satu langkah yang ganjil.

Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Marina Yusoff, Naib Pengerusi DAP Karpal Singh, Pengarang Harakah Zulkifli Sulong dan Ketua Pemuda KeADILan Mohd Ezam M. Noor ditahan untuk soal siasat beberapa jam, diikat jamin dan kemudiannya dibawa ke mahkamah. Beberapa lagi dijangkakan berada dalam senarai bakal ditahan. Semua mereka didakwa di bawah Akta Hasutan kecuali Ezam yang didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi yang membawa hukuman mandatori jika sabit kesalahan.

"Nampaknya parti Melayu utama, Umno, yang sering mendabik dada sebagai penaung dan pembela nasib Melayu sudah hilang kepekaan terhadap tradisi dan budaya Melayu," ulas bekas Ketua Pengarang Detik Ahmad Lufti Othman. Sementara Marina menyifatkan tindakan terbaru kerajaan itu sebagai "mengisytiharkan perang di saat sambutan Hari Raya."

Tidak sampai dua bulan selepas pilihanraya umum ke-10, Umno dilihat begitu tergesa-gesa mahu membalas dendam selepas menerima kekalahan paling buruk dalam sejarahnya. "Tiada hujah konkrit untuk mereka mengambil tindakan sedemikian. Ini membuktikan bahawa Umno tidak mengambil pengajaran lalu," ujar Lufti.

Apakah ini tindakan membalas dendam semata-mata? Bagi Naib Presiden KeADILan Chang Tian Chua, tindakan itu berkait rapat dengan pergolakan dalam Umno dan parti itu sengaja memperalatkan pembangkang untuk menyelesaikan krisis dalamannya. Soalnya, berapa ramai yang akan ditangkap sebagai tebusan politik mereka?

"Kebimbangan Mahathir jelas terpapar apabila beliau terpaksa menekan Harakah. Beliau takut lidah rasmi PAS itu turut mempengaruhi ahli Umno," katanya.

Menurut Marina pula, parti pembangkang dikambinghitamkan supaya rakyat mengalih perhatian daripada krisis Umno dalam usaha parti itu memulihkan imejnya, khasnya di kalangan orang Melayu.

Sementara sumber dalaman Umno menyebutkan ramai ahli tidak berpuas hati dengan pendekatan berlembut Dr. Mahathir dalam menangani dakwaan-dakwaan pembangkang terhadap parti itu dan kerajaan. Dilihat daripada tindakannya mengenakan tindakan ke atas Harakah, Detik dan beberapa penerbitan lainnya, kemudiannya diikuti penahanan bermotif politik dan perbicaraan tokoh-tokoh pembangkang itu, Mahathir dipercayai sudah terpengaruh dengan desakan pemimpin Umno.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com