ROSLAN SMS
Kekecohan di Parlimen semalam adalah ekoran penafsiran Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara kita sejak Merdeka yang telah dianuti oleh UMNO dan BN sekian lama. Isunya adakah persidangan Parlimen semalam yang dikeluarkan notisnya pada 13 Disember 1999 itu sah atau selaras dengan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Apabila tidak ada seorang pun wakil BN yang bangun mempertikaikannya maka layaklah Ustaz Dato’ Fadzil Nor selaku Ketua Pembangkang bangun untuk meminta penjelasan Dewan.
Prosesnya begini:
13 Disember : notis dikeluarkan
14 Disember : Jemaah Menteri atau kabinet
dibentuk secara resmi
15 Disember : Jemaah Menteri mengadakan mesyuaratnya
yang pertama
Oleh itu berdasarkan fakta di atas bagaimana notis boleh dikeluarkan pada 13 Disember sedangkan Jemaah Menteri cuma dibentuk pada 14 Disember? Kerana itulah Ketua Pembangkang mempersoalkan : “Siapakah yang telah menasihatkan kepada Yang Dipertuan Agong agar memanggil persidangan Parlimen pada hari ini (semalam)”.
Pada dasarnya prosedur memanggil sidang dewan semalam adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan kerana hanya Jemaah Menteri sahaja yang diberi kuasa meansihatkan Yang Dipertuan Agung, sedangkan pada tarikh 13 Disember belum ada Jemaah Kabinet yang resmi selepas Pilihanraya Umum Ke10. Kerana itulah Ustaz Dato’ Fadzil Nor mengusulkan agar sidang ditangguh bagi memperbetulkan prosedur yang salah itu.
Ini bukan soal sabotaj, ataupun soal menjadi samseng apa lagi “membawa undang-undang jalanan ke Parlimen” sebagaimana yang didakwa oleh Dr. Mahathir. Ini soal asas, soal pokok yang perlu dipatuhi dan dituruti lebih-lebih lagi oleh Badan Tertinggi Negara yang diamanahkan membuat dan menggubal undang-undang iaitu Parlimen.
Dr. Mahathir dalam keadaan gelabah akibat pukulan hebat pihak pembangkang telah mengatakan kononnya:
“There has never been a time when the country had no government. As Prime Minister in that caretaker government I had the right to advise the King” (The Star 21/12/99 m/s:1)
(Tidak pernah ada ketika dimana negara ini tidak mempunyai kerajaan. Sebagai PM di dalam kerajaan “caretaker” (sementara) saya mempunyai hak untuk menasihatkan Yang Dipertuan Agong)
Soalnya apakah yang dimaksudkan dengan istilah “caretaker” itu?
1. Oxford Dictionary : person taking temporary control (seseorang yang
memegang kuasa sementara)
2. Webster Dictionary : one temporarily
fulfilling the function of office (seseorang yang memenuhi tampok kuasa secara
sementara)
Jelas “caretaker” disini tidak berhak sebagaimana seseorang yang bertindak secara resmi kerana sifat “caretaker” itu hanya sementara. Demikianlah oleh kerana keputusan resmi pilihanraya umum ke 10 telah diketahui, kabinet dibentuk secara resmi dan kemudiannya bermesyuarat selepas itulah sepatutnya Jemaah Kabinet yang baru ini memberikan nasihat kepada Yang Dipertuan Agong tentang keperluan memanggil sidang dewan.Sejurus keputusan pilihanraya umum dimaklumkan secara resmi oleh SPR kepada Yang Dipertuan Agong Kerajaan atau PM “caretaker” sepatutnya tidak ujud lagi!
Dr. Mahathir terang-terangan berbohong kepada negara semata-mata mahu menutup kelemahannya dan kerajaan BN. Kerajaan yang telus adalah kerajaan yang menegur dan ditegur, bukannya kerajaan yang menolak dan memandang serong teguran dan bersikap keras kepala pula. UMNO dan Barisan Nasional membuka babak pemerintahan mereka dalam parliemn ke 10 ini dengan terang-terangan membelakangi undang-undang yang anak-anak kita ikrarkan disekolah-sekolah yang menjadi sebahagian dari Rukunegara iaitu : Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
BA yang diketuai Ahli Parlimen Pendang yang juga Ketua Pembangkang itu sepatutnya menerima pujian rakyat kerana berani menegur dan mempertahankan undang-undang dan Perlembagaan negara dalam apa keadaan sekali pun. Mereka bukannya mensabotaj, atau mempamirkan budaya samseng tetapi merekalah sesungguhnya wira pembela rakyat dan negara!