Kontraktor tempatan diutamakan

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi negeri, Yahaya Ali memberi jaminan kontraktor tempatan diutamakan dalam menjalankan sesuatu projek.

Katanya, kerajaan memberi perhatian kepada kontraktor tempatan untuk melaksanakan sesuatu projek jika mereka mampu.

Menurutnya, apa yang pernah berlaku sebelum ini ialah apabila sesuatu projek diberikan kepada kontraktor luar, mereka sub pula kepada kontraktor tempatan.

"Kalau kontraktor tempatan mampu buat, kita (kerajaan negeri) tidak beri kepada kontraktor luar," ujarnya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Tahun 2000 pada sidang Dun di sini, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, pihak kerajaan juga akan memastikan perkara-perkara yang tidak sihat dalam pemberian projek seperti diperolehi oleh kontraktor yang sama tidak akan berlaku.

Selain itu, tambahnya, kerajaan akan memastikan tidak berlaku persaingan di kalangan kontraktor dengan anak-anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Memajukan Iktisad negeri.

Beliau juga meminta pihak kontraktor supaya melaporkan kepada kerajaan jika terdapat penyelewengan dalam pembaha-gian kontrak.

"Kalau ada bukti berlaku penyelewengan atau perkara yang tidak sihat dalam pembahagian kontrak, lapor kepada kerajaan untuk diberi perhatian," ujarnya.

Tegasnya, kerajaan negeri akan memastikan bahawa kontraktor tempatan diberikan projek secara lebih adil.

Dipetik daripada HARAKAH