Dewan Perniagaan Cina temui MB Terengganu

 

KUALA TERENGGANU: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (DPPCT) telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di pejabatnya, Isnin lalu.

Pertemuan yang pertama kali diadakan itu berlangsung dalam suasana penuh kemesraan.

Pada majlis itu, satu memorandum telah diserahkan oleh Presiden DPPCT, Low Kian Chuan kepada Tuan Guru Abdul Hadi sebelum majlis perbincangan diadakan.

Kandungan memorandum itu antara lain mengemukakan pandangan DPPCT kepada kerajaan negeri dalam beberapa perkara termasuk yang melibatkan masyarakat Cina.

Sementara itu, perbincangan antara kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai dasar dan usaha kerajaan negeri terhadap masyarakat Cina.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri, Haji Mustafa Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna, Haji Mohd. Abdul Wahid Endut selaku penganjur pertemuan itu.

Selain Presiden, pemimpin DPPCT yang hadir ialah penasihatnya, Dato' Tok Teng Sai, Ong Doon Hong (Timbalan Presiden), Chong Fah Ming (Setiausaha Kehormat), Koh Tat Kim (Timbalan Setiausaha Kehormat) dan Cheah Keng Toh (Bendahari Kehormat).

Dato' Tok Seng Sai semasa memberitahu wartawan selepas perjumpaan itu melahirkan rasa puas hati dengan perbincangan yang diadakan itu.

Beliau berkata, pihaknya sedia mengadakan pertemuan seumpama itu lagi pada masa akan datang.