Surat Terbuka Untuk Rakyat & Kerajaan Baru Trengganu Darul Iman


Assalaamualaikum...Wrh...Wbt

Syabas serta tahniah kepada kerajaan PAS baru dibawah pimpinan YAB Ustaz Haji Abdul Hadi Awang. Kita mengucap syukur kepada Allah Azzawajalla kerana berkat hidayah dan ihsanNya maka usaha kita membuahkan hasil.

Kita juga panjatkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pekerja dan ahli Barisan Alternatif kerana usaha yang tak kenal penat dan tak kenal letih, demi untuk daulah Islamiah ini. Sesungguhnya, segala keikhlasan Saudara dan saudari telah terbalas. Namun ini bukanlah satu tanda berhenti, ini sebenarnya satu tanda mula untuk kita untuk terus maju dan berusaha sehingga tertegak sebuah daulah islamiah dalam erti kata yang sebenarnya.

Tugas kita sekarang amat penting dan masa yang diberikan kepada kita adalah pendek, jadi sudah barang tentu, setiap waktu yang ada itu haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Apa yang telah kita rancang dan praktikkan sekarang ini haruslah diteruskan, barisan alternatif ini adalah satu formula yang terbukti kejayaannya. Untuk itu haruslah ia diambil pakai dan di perbaiki seperti yang dikenhendaki. Nyata sekali orang Melayu dan Islam sudah menyatakan hasrat mereka untuk berdiri dalam wadah dan nafas Islam. Mereka sudah tidak ingin lagi hidup dalam udara yang batil dan sesak dengan fitnah, semua rakyat Melayu Islam sudah nyatakan pendirian mereka melalui PEMILU 99 ini. Ini haruslah mendapat perhatian berat dari BA dan juga kerajaan BN. Hasrat rakyat Melayu jangan sekali-kali diambil ringan, ini adalah satu amaran yang nyata dan agak keras kepada kerajaan BN. Kerajaan BN jangan lalai  jangan terus mendongak kelangit tanpa mengira tuntutan rakyat Melayu Islam yang sebenarnya. Kini sudah terang dan nyata bahawa, BN boleh diketepikan begitu saja untuk daulah islamiah. BN sudah tidak sentimental lagi untuk rakyat Melayu di Malaysia ini.

BN sendiri tahu bahawa undi mereka hanya datang dari rakyat yang bukan Islam, dan inipun mereka dapat dari hasil menakut-nakutkan mereka. Tapi BN tidak berhasil untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Orang Melayu tidak bisa dikuis dan diperkotak-katikkan seperti dulu lagi, kini mereka beri peluang kepada kerajaan PAS untuk perintah Kelantan dan Trengganu. Kita akan lihat nanti, kalau BN masih berdegil dan bongkak, maka BN akan tenggelam, lihat saja kekalahan teruk Menteri-menteri BN, ini sudah tentu satu cabaran yang hebat untuk BN.

Ramai yang bertanya-tanya dan berasa tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan Alternatif, sebenarnya perkara begini sudah tidak relevan, kerana dengan kemasukkan ramai golongan professional dalam PAS dan barisan alternatif akan memberikan satu daya sokong yang kuat dalam pentadbiran kerajaan. Lagipula Negeri Trengganu adalah negeri yang ada hasil minyak. Dari hasil minyak ini banyak perkara dan aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan. Ramai penduduk setempat akan mendapat manfaat dari hasil minyak ini dengan sistem pembahagian kekayaan bersandarkan sistem ekonomi Islam. Ini adalah satu kurniaan Allah dan kerajaan BA akan berlaku adil dalam sistem ekonominya.

Keutamaan harus diberikan kepada sektor-sektor berikut;

1.      Pendidikan
Sektor ini adalah sektor yang penting untuk memajukan rakyat trengganu, lebih banyak pusat pengajian dibina dan pusat kajian yang berunsurkan teknologi dibina. BUkan sahaja rakyat Trengganu akan mendapat manfaat, malah rakyat Islam dari seluruh negara juga patut mandapat manfaat dari program pembangunan pendidikan ini. Universiti dan maktab pengajian khas harus dibina yang menjuruskan kajian dalam semua bidang, terutamanya dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Juga dalam teknologi, para ahli cerdik tempatan dan dari luar negara akan dijemput untuk memberikan tunjuk ajar kepada para pelatih dipusat-pusat pengajian ini.

2.      Kesihatan
Semua rakyat harus mendapat rawatan dan khidmat kesihatan percuma, satu sistem insurans rawatan dan kesihatan akan diperkenalkan untuk rakyat Trengganu, dimana sistem ini akan memberikan rawatan dan khidmat kesihatan secara percuma kepada semua rakyat Trengganu dan rakyat Islam selainnya. Dengan adanya sistem ini, satu bentuk tabung kesihatan akan ditubuhkan, dimana caruman dari rakyat akan digunakan untuk tujuan insurans ini. Hospital dan klinik akan diperbanyakkan, serta pusat kajian dan makmal kesihatan akan dibina dengan lebih banyak lagi. Sebuah pusat jantung negara yang baik akan dibina diTrengganu, in memandangkan jantung adalah pembunuh nombor satu negara. Kita mahu bangunkan satu masyarakat yang sihat dan masyarakat yang berdaya maju. Sebab itu gabungan Ilmu dan kesihatan akan menghasilkan satu masyarakat yang mampan dan dinamik. Kerajaan juga akan berusaha mendirikan sekolah-sekolah perubatan yang mampu melatih pakar-pakar perubatan dan jururawat-jururawat bagi membantu memperbanyakkan dan memperbaiki institusi perubatan negeri Trengganu.

3.      Ekonomi
Ekonomi memainkan peranan yang besar dalam membangunkan negeri dan pembangunan rakyat, satu polisi ekonomi Islam akan dirancang dan dibentangkan. Pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang akan dirangka untuk tujuan pembangunan ekonomi negeri. Kita akan ambil kira keperluan asas seperti air dan letrik, kemudian jalanraya serta perumahan untuk semua rakyat. Aktiviti perkilangan juga akan ditingkatkan, ini untuk menjamin semua rakyat ada peluang pekerjaan. Sektor pertanian dan perladangan juga akan dibangunkan secara besar-besaran. Makanan dan hasil-hasil pertnian yang lain akan dimajukan mengikut nisbah keperluan rakyat dan negara ini. Kita akan kurangkan import makanan dan barangan lainnya dan kadar eksport barangan tempatan akan dinaikkan. Untuk menepati tujuan ini, program prasarana akan dirangka, pelabuhan dan lebuhraya akan dinaik taraf. Jalan keretapi juga akan dipertimbangkan mengikut keperluan yang ada. Lapangan terbang juga akan dinaikkan taraf, satu lapangan terbang yang bertaraf antarabangsa akan ditimbangkan apabila ada keperluan. Kawasan-kawasan komersil dan perkilangan akan dibuka, ini untuk membolehkan produktiviti negeri meningkat. Para pelabur dan usahawan tempatan akan digalakkan untuk mencari peluang mengusahakan mana-mana sektor yang perniagaan yang dianggap penting, dan kerajaan negeri akan merangka satu program khas bagi menggalakkan pertumbuhan ini.

Industri kampung akan diberikan keutamaan, kerajaan negeri akan melantik sebuah agensi kerajaan untuk tujuan memasarkan hasil industri kampung ini. Kerana masalah utama industri kampaung ialah dari segi pemasaran, untuk ini satu agensi khas akan dilantik bagi memastikan semua hasil kerja tangan dan industri kampung ini mandapat pasaran, samaada didalam negara atau diluar negara.

Industri yang berunsurkan laut juga akan dibangunkan, perikanan dan hasil laut akan digalakkan. Beberapa kilang pembinaan kapal dan bot akan dibina, juga sebuah sekolah kejuruteraan perkapalan akan dibina tujuan melatih anak tempatan dalam industri pembinaan kapal dan bot ini.

Ada beberapa rancangan yang akan ditimbangkan dari masa kesemasa. Untuk tujuan ini kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah institut kajian dan perancangan ekonomi (IKPE). Institut ini akan membuat kajian dan perancangan yang rapi, yang mana hasil kajian akan disaran kepada kerajaan negeri. Jika dirasakan perlu, program dan perancangan itu akan di laksanakan mengikut pelan tersebut.

4.      Teknologi Maklumat dan MultiMedia Kerajaan Negeri tidak akan ketinggalan dalam memajukan industri ini, in kerana kita percaya bahawa teknologi ini amat berpengaruh dan berpotensi tinggi. Untuk itu kerajaan negeri akan meningkatkan usaha mengeluarkan lebih ramai cerdik-pandai dan pakar-pakar melalui program pendidikan yang dirangka. Kerajaan akan berusaha untuk mengeluarkan seramai mungkin pakar-pakar IT dan MultiMedia. Kerajaan negeri akan melancarkan skim galakkan untuk para usahawan yang ingin menceburkan diri dalam indsurtri IT dan MultiMedia ini.

Akhir sekali, lebih banyak sekolah-sekolah agama dan kolej Islam akan dimajukan. Kerajaan negeri juga akan menaik taraf beberapa sekolah dan kolej agama kepada sebuah Institusi pengajian agama yang bertaraf dunia. Disamping itu, para cerdik pandai dan pakar-pakar kajian Islam akan dijemput untuk melatih dan mencurahkan ilmu mereka kepada sekian banyak pelajar-pelajar yang datang. Program-program kebajikan dan kemasyarakatan akan dipertingkatkan, ini untuk memupuk semangat muhibah antara sesama rakyat yang satu agama atau yang berlainan agama. Kita akan berusha supaya semua rakyat hidup dalam aman dan harmoni. Bila ini berlaku, negeri Trengganu akan mempunyai satu daya pembagunan yang tinggi, disebabkan faktor-faktor keaman dan harmoni dalam negeri.

Dengan perangcangan ringkas ini kita harap dapat memberikan sumbangan positif kepada sekelian rakyat Trengganu khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya. InsyaAllah kita percaya dan sentiasa berdoa kepada Allah Azzawajjala, supaya usaha kita mendapat berkat dan hidayahNya.

Wassalam

Think Tank BA