Oleh MSO. [sayuti@pd.jaring.my]
Kerajaan Umno/BN sudah mula bertindak satu demi satu ke atas hasil yang diperolehi daripada postmortem terhadap kemerosotan dan kekalahan mereka di dalam pilihanraya lalu.
Salah satu punca kekalahan yang dikenal pasti ialah tentang pengaruh media massa nyamuk yang menyokong alternatif dan menentang BN. Salah satu media kecil itu ialah suara lidah rasmi PAS, HARAKAH.
Semalam tindakan ke atas Harakah telah pun diambil. Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dikepalai oleh Abdullah Badawi telah bertindak untuk kesekian kalinya, merampas lebih 1500 naskah Harakah yang dijual di kedai-kedai buku. Tindakan itu dilihat sebagai amaran kepada pihak
pengurusan Harakan agar mematuhi peraturan permit dan secara tidak langsung untuk menakutkan rakyat dari memilikinya.
Tindakan itu menjelaskan kerajaan Umno begitu takut dengan pengaruh akhar dua kali seminggu itu. Tidak dinafikan pengaruh Harakah begitu meluas dan edarannya mencecah ke angka 200 ribu naskah sejak meletusnya isu Anwar Ibrahim dimalu dan dihinakan oleh pemimpin Umno setahun lalu.
Satu analisis yang dibuat oleh badan bertauliah juga mendapati edaran Harakah telah mengatasi edaran akhbar-akhbar perdana lain.
Sebelum tindakan menyekat pengaruh Harakah diambil, pihak Umno dan juga kerajaan sepatutnya mengkaji kenapa Harakah mendapat sambutan sedemikian rupa. Mereka perlu mengenal pasti punca mengapa pembaca beralih angin kepada Harakah, yang kalau hendak dibandingkan disegi mutu dan profesionalnya (kewartawanan) dengan media lain jauh ke belakang.
Pada hemat saya tindakan menyekat edaran Harakah ia tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Umno dan kerajaan hari ini. Rampasan yang dibuat ia tidak akan mengendurkan arus sokongan rakyat kepada tabloid itu. Hatta kalau pun kerajaan mengambil tindakan membatalkan permit, ia
tidak boleh memalingkan sokongan orang ramai daripada alternatif kepada barisan nasional yang tak resional itu.
Masalah yang dihadapi oleh Umno bukan kerana fitnah yang dibuat oleh Harakah seperti mana yang disangka dan dilemparkan. Secara mudah kalau dibandingkan, pihak kerajaan Umno mempunyai lebih 10 media massa cetak dan eletronik, di mana keupayaan di segi medianya jauh lebih besar.
Mereka ada Utusan Malaysia, Berita Hairan, Metro, Utusan Melayu, The New Straits Time, The Sun, The Star, akhbar Cina dan India, puluhan tabloid picisan lain, serta TV1, TV2, TV3, TV4 dan TV7, berbanding dengan pembangkang hanya ada Harakah yang mempunyai 40 muka surat.
Kalau dicampur kesemua media masaa itu edaran akhbar yang memuja dan mempertahanakan kerajaan berjumlah jutaan naskah berbanding dengan harakah. Lagipun akhbar itu semuanya diterbitkan tiap-tiap hari berbanding Harakah hanya dua kali seminggu.
Berpandukan itu Umno tidak perlu takut, dan mereka sepatutnya membebaskan Harakah.
Tetapi kenapa masalah itu tidak selesai. Kredibiliti Umno terus dikritikan dan sokongannya merosot. Maknanya ada kesalahan di pihak Umno dan kerajaan mengapa rakyat bertindak demikian. Umno dan kerajaan sewajarnya membetul dan membersihkan dirinya sendiri dan jangan menyalahkan pihak lain.
Kalau pihak Umno bencikan Harakah dan inginkan sokongan rakyat berkurangan, caranya bukan hentikan Harakah, tetapi hentikan kemungkaran dan penyelewengan yang mereka lakukan. Mengapa Harakah menjadi pilihan ialah kerana akhbar itu mendedahkan penyeleweng, kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan oleh pemimpin BN.
Sementara akhbar yang menjadi penjilat buntut kerajaan pula tidak berfungsi dengan baik. Mereka hanya sekadar menjadi pengampu dan pembodek pemimpin Umno. Mereka tidak menjadi media yang konstruktif. Pendedahan yang mereka lakukan tidak bertanggungjawab dan semuanya atas
motif politik bukan kerana rakyat.
Apa yang didedahkan oleh akhbar perdana lain, yang boleh dipercayai, hanya cerita kemalangan jalan raya, keputusan nombor ekor saja, hatta waktu sembahyang pun kadang kala tersilap. Manakala kenyataan pembangkang pula sering dimanipulasikan dan diekploitasikan membabi
buta.
Kita percaya kalau Umno dan kerajaan menghentikan segala kemungkaran dan kebejatan, Harakah tidak berkesempatan mendedahkan keburukan Umno dan kerajaan. Secara tidak langsung juga maka tidak adalah pendedahan berani dan ekselusif dari Harakah. Dengan cara itulah lama-lama orang akan kurang memberi perhatian kepada Harakah, dan Umno/kerajaan dapat mengatasi kerumitan itu.
Pada kita tindakan kerajaan merampas dan melarang jualan Harakah itu tidak masuk akan dan munasabah. Tindakan kebudak-budakan yang bukan bijaksana tetapi penuh rasa dendam dan irihati. Cara itu bukan merupakan satu penyelesaian yang tuntas melainkan ia memberi gambaran bahawa
kebebasan bersuara di negara ini semakin merosot. Tindakan itu menyebabkan rakyat akan menjadi semakin marah.
Melihat pihak kerajaan takutkan Harakah, samalah dengan mereka takutkan kepada Anwar Ibrahim. Kerana ketidak upayaan melawan Anwar, meskipun Umno mempunyai beratus pemimpin, mereka terpaksa juga mengambil jalan kejam dengan memanjarakan Anwar. Pun begitu juga dengan Harakah, apabila mereka gagal membendung pengaruh Harakah, tidak mustahil akhbar itu juga akan di penjara (ditarik permit) sama dengan Anwar, walaupun Umno dan kerajaan ada berpuloh media lain.
(Ends..).