|
SHAH ALAM, 22 Dis - Sidang
Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini gamat apabila pembangkang
dan penyokong kerajaan hebat mempertikaikan siapa sebenarnya yang
menggunakan masjid untuk tujuan berpolitik.
Ia
bermula apabila Sallehen Mukhyi (PAS-Sungai Besar) ketika
membahaskan belanjawan negeri membangkitkan isu tindakan terhadap
pegawai masjid yang didakwanya tidak menyokong kerajaan.
Beliau mendakwa kerajaan tidak berlaku adil apabila pegawai
masjid terbabit ditukar manakala penceramah yang didapati tidak
menyokong kerajaan pula "digam" daripada menghadiri sebarang majlis
kerajaan.
Datuk Sharif Jajang (BN-Dengkil) yang bangun
membantah sebaliknya berkata perkara yang sama dilakukan oleh
kerajaan yang diperintah pembangkang apabila mereka berkuasa.
Pertikaman lidah menjadi semakin hangat apabila beberapa
pembangkang lain seperti Datuk Dr Hasan Ali (PAS-Sungai Burung) dan
Datuk Ismail Kamus (PAS-Gombak Setia) saling tuduh menuduh dengan
penyokong kerajaan seperti Datuk Mufti Shuib (BN-Ampang) dan Shariff
tentang siapa sebenarnya yang mula menjadikan masjid sebagai tempat
berpolitik.
Dewan kemudiannya berjaya ditenteramkan apabila
Speaker Datuk Onn Ismail tidak lagi memberikan kebenaran supaya
perkara itu dipanjangkan dan meminta supaya Sallehen meneruskan
hujahnya.
Sallehen kemudiannya meminta supaya elaun untuk
imam dinaikkan kerana menurutnya jumlah yang diperuntukkan kepada
setiap masjid terlalu kecil berbanding dengan jumlah imam yang
dilantik yang agak ramai dalam satu-satu masjid.
Pada sesi
petang, dewan menyaksikan pertikaman lidah antara Teng Chang Khim
(DAP-Bandar Klang) dan Datuk Zakariah Md Deros (BN-Selat Klang)
membabitkan perkara yang sama sekali luar daripada tajuk perbahasan.
Ia bermula ketika Mesrah Selamat (BN-Jeram) sedang
membahaskan belanjawan negeri apabila laluan diberikan kepada
beberapa anggota dewan untuk mencelah dan menyuarakan pendapat
mereka.
Perkara ini tidak disenangi Teng yang berhujah
bahawa laluan yang diberikan tidak mengikut peraturan dan sebaliknya
hujah Teng itu menimbulkan kemarahan Zakariah sehingga menyebabkan
kedua-duanya bertekak dan berlaku cabar mencabar mengenai siapa
"samseng".
Bagaimanapun ia berakhir apabila kedua-duanya
diarah duduk oleh Speaker dan mereka akur dengan arahan itu walaupun
masih dalam keadaan marah.
Persidangan disambung esok.
|