Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pimpinan baru Terengganu memikul tanggungjawab besar

BANYAK angkara dan sebab telah diperkatakan berkait dengan kekalahan Umno/BN di Terengganu dalam pilihan raya umum yang lepas. Tidak kurang juga anggapan negatif yang dilemparkan oleh akhbar-akhbar tempatan pro Umno/BN terhadap Barisan Alternatif (BA) yang telah berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu. Rakyat Terengganu sudah membuat pilihan. Sama ada kita suka atau tidak, semua pihak mestilah menghormati keputusan rakyat.

Kerajaan BA Terengganu berkuasa tidak sampai pun sebulan. Marilah kita memberi peluang kepada kerajaan baru ini untuk menyesuaikan diri mentadbir negeri bertuah ini. Janganlah ada mana-mana pihak yang mengkritik secara melulu dan memandang rendah akan kebolehan kerajaan baru ini. Saya yakin dan percaya kerajaan BA Terengganu dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik memandangkan barisan ahli-ahli EXCO terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berkelulusan tinggi.

Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) telah selesai bersidang pada 24 Disember 1999. YB Saiful Bahri (PAS-Paka) telah membuat gesaan supaya kerajaan membentuk sebuah Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno/BN yang memerintah sebelum ini. Saya menyokong saranan tersebut oleh kerana banyak perkara telah ditimbulkan terdahulu yang melibatkan kepincangan dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh kerajaan lalu, khususnya oleh bekas Menteri Besar Dato' Wan Mokhtar Ahmad (DWM) sendiri.

Kerugian yang dikatakan menimpa Perbadanan Menteri Besar (PMB) berjumlah melebihi RM 110 juta ringgit adalah satu tragedi yang amat malang. Enakmen PMB telah memberi kuasa mutlak kepada DWM selaku Menteri Besar membelanjakan 5% daripada hasil pendapatan petroleum untuk dilaburkan ke dalam projek-projek di mana keuntungan yang diperolehi, kononnya mengikut DWM bagi kegunaan dan faedah generasi akan datang.

Dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara yang dibentang di DUN Terengganu, beliau telah beberapa kali mendedahkan "kesukaran" kedudukan PMB dari segi pentadbiran dan perancangan pelaburannya yang tidak mengikut atur-cara perniagaan.

Pihak pembangkang pada waktu itu berkali-kali menuntut penjelasan, tetapi malang tidak dijawab bukan sahaja oleh DWM tetapi juga oleh ahli-ahli EXCO yang lain. Agaknya kes ini dianggap remeh-temeh dan satu episod yang tidak mustahak diberi layanan.

Kehilangan RM110 juta itu amat besar kerugiannya. Hari ini PMB sudah "dikuburkan" dan tidak lagi beroperasi. Rakyat Terengganu perlu tahu secara terperinci ke mana dan di mana wang rakyat itu telah dibelanjakan. Jika ada salahguna kuasa dan penyelewengan maka mereka yang bersalah, khususnya DWM sendiri, hendaklah dibawa ke muka pengadilan. Tidak adil dan berdosa jika mereka yang memusnahkan khazanah rakyat dibiarkan begitu sahaja, seperti yang berlaku dalam skandal Perwaja Terengganu. Atau seperti kes-kes yang dilaporkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim yang melibatkan Menteri-Menteri Kabinet.

Pihak polis dan BPR mesti dibenarkan membuat siasatan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak. Sama ada mereka bersalah atau tidak bersalah, hanya mahkamah yang berhak menentukannya. Tiada siapa yang mempunyai kekebalan atau kuasa untuk melindung mana-mana pihak, khususnya mereka yang memegang kuasa daripada penyiasatan. Rakyat mahukan ketelusan dan keadilan.

Saranan YBM Tengku Putera (BN-Telemong), kononnya penubuhan Suruhanjaya Bebas ini merupakan prasangka dan tuduhan melulu yang amat ketara terhadap Kerajaan negeri sebelum ini tidak boleh diterima akal sama sekali. Kerugian yang tersebut di atas itu telah didedahkan oleh Ketua Audit Negara sendiri dan ia telah dibentangkan di DUN Terengganu. Ia tidak ada kena mengena dengan kenyataan YAB Tuan Guru Menteri Besar untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat.

Salahguna kuasa dan penyelewengan jika berlaku tetap merupakan suatru kesalahan dan tindakan sewajarnya mesti diambil. Pihak BPR juga harus diberi peranan untuk membuat siasatan dan jika sabit kesalahan maka BPR bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya. Satu lagi kes yang harus diberi penumpuan untuk disiasat ialah kes kerugian yang menimpa Gunawan Iron & Steel Sdn. Bhd. (Gunawan). Syarikat ini juga telah "berkubur" kerana kerugian yang besar. Syarikat Gunawan dikatakan mengalami kerugian sebanyak RM750 juta dan mempunyai pinjaman Bank berjumlah RM500 juta. Kerajaan Negeri yang lalu, di bawah Permodalan Terengganu Bhd (PTB), mempunyai saham berjumlah RM73 juta dalam syarikat ini, atau 22% daripada saham berbayar Gunawan.

Apa yang mengejutkan, ahli-ahli Lembaga Pengarah Gunawan ini terdiri daripada mereka yang cetek pengalaman dalam bidang perusahaan besi waja. Saya difahamkan ada pegawai tertentu diberi gaji sebanyak RM38,000 sebulan, walhal Gunawan mengalami kerugian berjumlah beratus-ratus juta ringgit.

Suruhanjaya Bebas yang wajar ditubuhkan ini bertanggungjawab menyiasat secara terperinci kepincangan pentadbiran syarikat ini. Gunawan 'parah' kerana darahnya dihisap oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan peribadi.

Kerajaan Negeri yang lalu telah juga disaman oleh Syarikat Yee Seng Plantation Sdn. Bhd. sebanyak RM5,000,000,000.00 (5 billion ringgit) berhubung dengan pengambilan-balik tanah mereka luas 8,232 hektar (20,333 ekar) di Kerteh, Terengganu. Yee Seng telah memfailkan samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 23 Ogos 1997, dengan mendakwa pihak Menteri Besar dan Kerajaan Negeri sebagai defendan, telah membuat janji palsu dan cuai mematuhi perjanjian yang telah dimeterai di antara kedua-dua pihak di hadapan Yang Arif Dato' Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Jika Yee Seng berjaya dalam dakwaan kes ini, maka kerajaan BA terpaksa membayar saman ganti rugi itu angkara kesalahan yang dibuat oleh kerajaan lalu. Wang 5 billion ringgit yang dituntut itu adalah bersamaan dengan 10 tahun jumlah hasil royalti minyak yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri daripada Petronas.

Satu lagi kes yang perlu dan mustahak disiasat berkait dengan pemberian kawasan balak kepada kilang-kilang papan yang tidak mengikut undang-undang. Beberapa minggu sebelum dewan dibubarkan, Pejabat Hutan Negeri dikatakan telah mengeluarkan lebih kurang 10 surat kelulusan balak bagi kilang-kilang papan di Terengganu tanpa kelulusan EXCO dan tanpa disertakan pelan kawasan-kawasan yang diluluskan itu.

Saya dimaklumkan bahawa sejumlah wang telah didermakan kepada parti politik tertentu untuk mendapatkan surat-surat kelulusan ini. Kelulusan ini diberi tidak mengikut sistem tender dan diberi atas dasar "derma" kepada parti politik tertentu sebagai perbelanjaan pilihan raya umum lalu.

Saya juga difahamkan bahawa wang berjumlah antara setengah ke satu juta telah diberikan oleh kilang-kilang papan ini. Pihak BPR hendaklah membuat siasatan kerana dakwaan ini, jika benar, amat merugikan khazanah negeri yang sepatutnya mendapat premium yang tinggi jika kawasan-kawasan hutan tersebut ditender secara terbuka.

Perkara yang amat saya bimbang ialah pendedahan ketua pembangkang YB Dato' Fadzil Noor yang mendakwa para pelabur asing yang berminat melabur di Kelantan dihalang membuat demikian, mungkin disengajakan oleh kepentingan politik di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian. Jika perkara ini betul berlaku ianya adalah satu tragedi yang amat malang bagi rakyat Kelantan dan Terengganu, kerana Terengganu juga mempunyai Kerajaan PAS/BA seperti Kelantan.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di negara yang mempraktikkan demokrasi. Jika ia benar-benar berlaku, maka ia adalah satu bentuk penindasan dan kezaliman yang amat kejam yang ditujukan kepada rakyat Kelantan yang mempunyai penduduk berjumlah 1.4 juta dan rakyat Terengganu yang mempunyai penduduk hampir 1 juta orang.

Kedua-dua negeri ini mempunyai penduduk Melayu hampir 98%. Terengganu dan Kelantan mahukan pelaburan untuk negeri masing-masing. Dengan adanya pelaburan tersebut rakyat Terengganu khususnya orang-orang Melayu dapat mencari dan diberi kerja di kilang-kilang syarikat yang berminat bertapak di kedua-dua negeri ini. Saya mohon dan berseru agar pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa berlaku adil terhadap kedua-dua negeri pantai timur ini. Janganlah rakyat didenda kerana mereka memilih kerajaan BA dalam pilihan raya umum yang lampau. YB Menteri Kementerian berkenaan hendaklah memberi penjelasan ekoran dakwaan yang dibuat oleh ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.

Dalam pada itu, rakyat Terengganu harus bersatu dan melupakan perselisihan pendapat yang berlaku sebelum pilihan raya umum yang lalu. Sempena Syawal yang bertuah ini, kita perlu mengambil kesempatan untuk berbaik-baik, bermaaf-maafan di antara penyokong Umno/BN dan penyokong Barisan Alternatif. Ingatlah sebagai umat Islam, kita hendaklah bersatu untuk menempuhi abad ke-21 ini.

Dipetik daripada HARAKAH DAILY




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com