TMB bayar zakat RM61 ribu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu menerima sekeping cek pembayaran zakat perniagaan dari Telekom Malaysia Berhad (TMB) cawangan Terengganu bernilai RM61,532.73.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Presiden Kanan Sumber Manusia dan Korporat Telekom Malaysia, Ibrahim Mohd Nasir kepada Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

MB Terengganu turut merakamkan ucapan terima kasih bagi pihak kerajaan negeri kepada pihak Telekom Malaysia Berhad.

"Terima kasih, semoga boleh menjadi contoh yang baik kepada orang lain," ujarnya kepada pihak rombongan TMB, di pejabatnya baru-baru ini.

Sementara itu, Ibrahim berkata pihaknya telah mengambil keputusan bahawa pembayaran zakat perniagaan TMB akan dibayar kepada negeri masing-masing.

"Kita (TMB) bayar zakat perniagaan kepada negeri masing-masing termasuk Kelantan dan Terengganu," ujarnya ketika ditanya Harakah.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Ustaz Harun Taib, Setiausaha Politik MB, Haji Hussein Ismail, serta Pengurus dan Penolong Besar Sumber Manusia TMB, Ismail Nordin dan Haji Hashim Saadudin.

Pertemuan hampir setengah jam tersebut turut membincangkan perkembangan semasa TMB menghadapi alaf baru tahun 2000.

Dipetik Daripada HARAKAH