PAS TERENGGANU TIDAK HALANG KUTIPAN TOL JIKA...

KUALA TERENGGANU, 20 Dis - Kerajaan Pas Terengganu tidak akan menghalang kutipan tol di Lebuh raya Pantai Timur sekiranya kerajaan persekutuan ingin meneruskan projek itu sehingga ke Cendering, di sini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi negeri Yahaya Ali.

Beliau berkata dasar kerajaan negeri adalah jelas iaitu tidak menghalang sebarang projek keperluan asas yang memberi kemudahan kepada rakyat.

"Pada dasarnya, kita tidak menghalang pembinaan projek berkenaan dan kajian oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan ia adalah satu keperluan untuk pengguna di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Yahaya berkata kajian itu juga mendapati pengguna bersetuju untuk menggunakan lebuh raya berkenaan walaupun kutipan tol dikenakan ke atas mereka.

Akhbar semalam melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata bahawa projek lebuh raya itu terutama yang membabitkan dari Cendering, Terengganu ke Karak di Pahang akan dilaksanakan jika kerajaan Pas Terengganu bersetuju membenarkan tol dikutip di laluan berkenaan.

Dr Mahathir berkata jika kerajaan Terengganu tidak mahu kutipan tol dilaksanakan ia boleh membiayai keseluruhan projek yang membabitkan bahagian yang melibatkan negeri itu atau membiayai pembayaran tol untuk rakyatnya yang menggunakan lebuh raya itu.

"Kalau dia (kerajaan Terengganu) tidak mahu tol, maka projek itu terpaksa dimansuhkan (bahagian Terengganu ke Pahang)," kata Perdana Menteri.

Lebuh raya sepanjang 338 km itu yang berharga RM2.8 bilion dirancang dibina mengikut beberapa fasa dari Karak ke Kuantan di Pahang dan Jabur, Bukit Besi, Ajil dan Cendering di sini. Kerja pecah tanah di kedua-dua buah negeri itu dilakukan pada bulan lepas.

Yahaya berkata tidak timbul soal bantahan kerajaan pimpinan Pas terhadap isu tol berkenaan kerana kerja pecah tanah projek itu dilakukan bulan lepas.

"Kita terima (kutipan tol) kerana ia melibatkan projek kerajaan persekutuan dan penghapusan tol di Jambatan Sultan Mahmud di sini baru-baru ini tidak ada kena mengena dengan lebuh raya berkenaan," katanya.

Menurutnya isu yang dibangkitkan itu adalah berlainan kerana kutipan tol di jambatan itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri manakala pembinaan lebuh raya pula di bawah kerajaan pusat.

"Malah projek itu dijalankan secara penswastaan dan ada pelabur yang melabur untuk projek (lebuh raya) berkenaan," katanya.

Yahaya berkata semua projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dahulu akan diteruskan cuma ia akan dikemaskini bersesuaian dengan dasar kerajaan Pas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri Haji Mustafa Ali berkata sehingga kini tiada tanda-tanda projek berkenaan akan dihentikan memandangkan kerja awal pembinaannya telah dimulakan.

Mustafa berkata satu lagi projek yang melibatkan kerajaan pusat iaitu pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Seberang Takir juga akan diteruskan.

"Tak kan nak tarik balik sebab upacara pecah tanah (lapangan terbang) telah dibuat dan berdasarkan setakat ini tak ada tanda-tanda tak akan diteruskan," katanya.

Upacara pecah tanah lapangan terbang berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 27 Nov lepas. Pembesaran lapangan terbang itu yang bernilai kira-kira RM200 juta itu melibatkan pembinaan terminal baru dan pemanjangan landasan yang sedia ada dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.