KUALA TERENGGANU, 3 Jan - Kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Pas mengarahkan Persatuan Bola Tampar Negeri Terengganu (Tava) supaya menyediakan pakaian yang lebih sopan bagi pemain lelaki dan wanita semasa menyertai pertandingan.
Setiausaha Tava Mohd Nasir Yusof berkata arahan itu melambangkan hasrat kerajaan negeri agar pekaian pemain tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
"Arahan itu dikeluarkan semasa saya mengunjungi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Wan Hassan Mohd Ramli baru-baru ini," katanya.
Mohd Nasir berkata berikutan itu Tava akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang selepas Hari Raya ini untuk mengemukakan bentuk pakaian pemain yang dikehendaki itu.
Pada kesempatan itu juga nanti Tava akan berbincang dengan Abdul Hadi mengenai penaung persatuan kerana mengikut tradisi persatuan biasanya Menteri Besar menjadi penaung.
"Jadi kita hendak minta kebenaran Menteri Besar Abdul Hadi menjadi penaung persatuan," katanya.
Beliau juga berkata persatuan itu sedang dalam proses merayu kepada Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) supaya mengadakan kejohanan bola tampar Ekovest ke-32 di Terengganu pada tahun ini.
Beliau berkata ini kerana Tava telah membelanjakan sejumlah wang yang baik sebagai persiapan untuk menjadi tuanrumah kejohanan itu tahun lepas tetapi ia dibatalkan pada saat akhir kerana pilihan raya umum.
"Kita merayu kepada Mava supaya mengadakan kejohanan itu di Terengganu tahun ini," katanya.