Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Gani, Azhar bertukar jabatan

‘Ein Azmi

Laporan penuh : www.malaysiakini.com

7pm, JUM: Dua Timbalan Pendakwaraya Kanan Datuk Abdul Gani Patail dan Datuk Azahar Mohamed yang memimpin pasukan pendakwaan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertukar jabatan. Gani akan mengetuai semula bahagian pendakwaan, yang pernah dipimpinnya lima tahun lalu, berkuatkuasa 1 Februari depan. Beliau sebelum ini merupakan ketua bahagian semakan undang-undang.

Sementara Azahar akan berpindah ke bahagian guaman daripada bahagian pendakwaan. Dua lagi ketua daripada lima bahagian di bawah Jabatan Peguam Negara akan bertukar. Mereka ialah Datuk Ahmad Maarop di bahagian penasihat undang-undang bertukar ke bahagian semakan undang-undang dan Datuk Zaiton Zawiyah Puteh dari bahagian guaman bertukar ke bahagian penasihat undang-undang. Bahagian penggubalan undang-undang yang diketuai Datin Paduka Zaharah Ibrahim bagaimanapun tidak berubah.

Perubahan ini menimbulkan spekulasi bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, sedang menguatkan bahagian pendakwaan memandangkan banyak kes yang terbaru membabitkan tokoh-tokoh politik yang dianggap "high profile".

"Gani selalu menjadi rujukan Peguam Negara walaupun sebelum ini beliau mengetahui jabatan-jabatan lain," kata satu sumber dari jabatan itu kepada malaysiakini. "Beliau juga dianggap sedang dilatih untuk memimpin jabatan itu."

Bagaimanapun sumber itu menganggap pertukaran dalam sistem pusingan itu sebahagian polisi biasa Mohtar yang mahukan semua pegawai kanan jabatan itu mendapat pendedahan yang meluas dan pelbagai. Setakat ini surat pekeliling berhubung hal itu belum diedarkan lagi tetapi berita tentang hal ini sudah diketahui kakitangan jabatan yang kini mendapat kritikan rakyat itu sejak sebelum sambutan Hari Raya lagi.

"Yang ganjil, Gani yang menjadi ketua pihak pendakwaan dalam kes Anwar kembali semula ke bahagian pendakwaan," kata sumber itu lagi.

Jabatan Peguam Negara menjadi sasaran kritikan parti-parti pembangkang dan aktivis-aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak berlakunya pemecatan, pemenjaraan dan perbicaraan Anwar. Jabatan itu didakwa melakukan "pendakwaan terpilih" kerana hanya membawa penentang-penentang kerajaan ke mahkamah tetapi berbuat apa-apa tindakan terhadap pemimpin-pemimpin Umno dalam kerajaan.

Anwar sendiri dalam laporan-laporan polisnya dan ketika membela diri dalam dua perbicaraannya sejak November 1998 tidak henti-henti menyerang jabatan itu dan Peguam Negara.





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com