Buletin utama TV3 21 Januari menghidangkan liputan perayaan Thaipusam selama lebih 15 minit. Ia bukanlah sesuatu yang menakjubkan sehingga Menteri Jalan dan Tol, Samy Vellu menyebut akan membina laluan keretapi berkembar di Batu Caves sebagai kesinambungannya dengan sistem jalankeretapi yang sediada di Lembah Kelang. Dalam keghairahan menyambut Thaipusam juga Menteri Tol itu menyebut akan membina keretapi 'Hindu' sesuatu yang menakjubkan dan menghairankan.
Perayaan Thaipusam memang menarik bagi yang tidak pernah melihatnya. Bagaimana pun ia merupakan perayaan ugama Hindu yang mana amat berlainan dengan perayaan yang disambut oleh ugama Islam. Saya amat tersentuh apabila wartawan yang membuat liputan, Fadzli Ahmad menyebut antara lain, "perayaan Thaipusam disambut oleh penganut berugama Hindu. Namun adalah tidak menjadi kesalahan bagi penganut ugama lain untuk sama menyertainya".
Kata-kata Fadzli yang disiarkan tanpa melalui proses penapisan yang baik oleh pihak editor TV3 jika diukur dari akidah Islam adalah terbatal. Apakah semua insan beragama Islam di TV3 tidak sensitif dengan apa yang dituturkan oleh wartawan berkenaan atau sengaja menulis skrip sedemikian untuk dibaca oleh wartawan terbabit.
Perbuatan merendahkan martabat Islam dan imej ugama Islam sudah lama dilakukan oleh TV3. Selaku penyiar yang mempunyai pengaruh di negara ini, Minda Rakyat percaya TV3 mempunyai dalang yang sengaja melakukan perbuatan sedemikian.
Apa yang sebenarnya sikap kita berhadapan dengan perayaan ugama lain ialah dengan merujuk kembali kepada Al-Quran surah Al-Kafiruun ayat 1 - 6 bermaksud:
"Katakanlah (kepada orang kafir): Hai orang-orang kafir! aku tidak menyembah apa yang kamu sembah dan aku bukan penyembah Tuhan yang kamu sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Bagimu agamamu dan bagiku agamaku"
Tindakan TV3 meluaskan liputan perayaan Thaipusam bukan menjadi satu kesalahan. Namun menyamakan semua ugama dengan Islam atau menyamakan semua upacara ugama dengan ugama Islam adalah satu kesalahan yang besar di sisi Tuhan kerana ianya melibatkan akidah seseorang. Justeru itu TV3 dan wartawannya Fadzli Ahmad perlu bertaubat dan kembali ke pangkuan Islam yang sebenarnya!!
Dipetik daripada MINDA RAKYAT